Isnin, 21 Januari 2019

‘Troll’ Najib buat PH sakit punggung

Timmy Say




Di dunia realiti, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak adalah seorang ahli politik yang sedang berdepan dengan berpuluh tuduhan di mahkamah. Beliau terpukul dan dalam keadaan tenggelam.

Siapa menyangka Najib yang dilihat ramai sepatutnya lemas ditimbuni pelbagai tuduhan berat di mahkamah itu menjadi selebriti di alam maya, terutamanya Facebook.

Kebijaksanaan beliau “mentroll” (menyindir) setiap kesilapan Pakatan Harapan (PH) dengan ayat-ayat bahasa Melayu yang mudah dan tepat kepada sasaran tiba-tiba melonjakkan popularitinya secara mendadak.

Daripada seorang perdana menteri yang “dibuang” majoriti rakyat Malaysia pada pilihan raya umum ke 14, Najib kini menjadi selebriti di Facebook.

Setiap tulisannya dinanti-nantikan kerana ia kini muncul dalam bentuk hiburan sinis. Lebih penting, ia menjadi “outlet” bagi mereka yang tidak mampu menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap prestasi PH.

Antara satu sebab populariti Najib naik kembali secara mendadak ialah perang tulisannya dengan 2 pimpinan utama DAP, iaitu Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

Setakat ini, ramai netizen berpendapat tidak da ahli politik pembangkang yang boleh menyaingi Guan Eng dan Kit Siang.

Tetapi, Najib membawa kelainan. Selain berani menjawab dan menepis tuduhan dan kritikan Guan Eng dan Kit Siang, beliau juga membalas mereka dengan gaya “trollnya” yang unik, yang nampak melemaskan Guan Eng dan Kit Siang.

Lemasnya Kit Siang dalam “troll” Najib dapat diperhatikan dalam kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

Pemimpin besar DAP itu mendakwa Najib mempunyai 5 agenda untuk membuat ‘”comeback” sebagai perdana menteri kelapan ketika beliau turun membantu kempen calon BN di situ.

Tetapi, bukankah DAP sendiri sudah yakin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM-8? Tidak ada apa-apa yang perlu dihairankan apabila Kit Siang tiba-tiba perlu membuat hipotesis begitu. Populariti Najib di Facebook melalui “troll” #TakutApaBossku sememangnya menakjubkan.

Daripada satu akaun Facebook dengan lebih 3 juta pengikut yang sering dipenuhi komen maki-hamun terhadap BN, beliau dan isteri serta skandal 1MDB, kini Facebook Najib dipenuhi dengan sindiran terhadap PH dan pujian terhadap “troll” beliau.

Netizen yang mengikuti Facebook beliau cukup teruja dengan jumlah “Likes” yang diterima. “1 minit 2K likes – Hebat!” – itulah antara komen yang dibuat untuk setiap muatnaik Najib kini.

Hari ini sesiapa yang hendak membalas “troll” Najib perlu berfikir 2 kali. Meskipun masih dibelenggu skandal 1MDB, kedudukan Najib dalam kalangan netizen rakyat Malaysia sudah berubah.

Jangan balas “troll” Najib seperti yang dilakukan Menteri Wilayah Khalid Samad. Bukan sahaja ia tidak membantu, malah ia melemaskan sehingga Khalid terpaksa mengaku Najib adalah pembangkang yang baik untuk PH.

Di dunia persepsi, nampaknya aktiviti “troll” boleh melemaskan seseorang ahli politik, tetapi berpuluh kes mahkamah tidak dapat mematahkan semangat mereka. Begitulah dunia politik – “anything is possible and so unreal!”

Siapa juga menyangka Najib boleh mengembalikan popularitinya sebelum habis 9 bulan PH mengandungkan “anaknya” dan kini beliau menjadi individu yang paling menyakitkan punggung gabungan politik itu?

Tiada ulasan: