Seorang saksi
memberitahu Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini bahawa
beliau mengingati wajah Datuk Farid Kamil Zahari berikutan tindakan
berani pelakon dan pengarah itu menampar anggota polis trafik di
Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Jan 2018.
Wong Kok Keong,
36, saksi pendakwaan keempat berkata, insiden yang berlaku itu
merupakan yang pertama kali dilihat sepanjang hidupnya, membabitkan
orang awam menampar anggota polis.
Beliau berkata
demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah
Amran, ketika disoal sama ada saksi itu mengenali dan mengingati
pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.
Menurut Wong,
ketika itu beliau terdengar dua lelaki bergaduh sebelum melihat Farid
Kamil bertindak menampar orang awam (Ashraf Ahmad) yang juga saksi
pendakwaan pertama dengan kuat dan kemudian melakukan perbuatan sama
terhadap anggota polis trafik di kaunter pertanyaan.
"Saya
melihat anggota polis itu ditampar Farid Kamil kerana beliau mahu
menenangkan kedua-dua lelaki yang sedang bergaduh.
"Ketika itu,
saya melihat Farid Kamil terjerit-jerit seperti orang gila dan dalam
masa sama keadaannya seperti tidak sedar dan tidak betul,"
katanya.
Ditanya di
bahagian manakah muka kedua-dua mangsa yang ditampar Farid Kamil itu,
saksi itu yang merupakan pemilik perniagaan perkhidmatan pengebumian
berkata: ”tidak ingat”.
Dalam keterangan
di mahkamah sebelum ini, Ashraf, 35, memberitahu bahawa beliau
membawa Farid Kamil ke balai trafik untuk membuat laporan polis
kerana diminta oleh pelakon itu yang mendakwa dirinya kemalangan.
Wong berkata
beliau ke balai polis trafik itu pada 12 tengah hari, 11 Jan tahun
lepas untuk memeriksa saman kenderaan milikinya sebelum dua lelaki
(Ashraf Ahmad dan Farid Kamil ) masuk ke dalam balai polis sama.
"Ketika itu,
saya sedang duduk di kerusi berdekatan kaunter pertanyaan untuk
menunggu giliran bagi memeriksa saman, tapi kerana kejadian itu saya
tidak sempat untuk melakukan urusan," katanya ketika pemeriksaan
balas oleh peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil.
Menjawab soalan
peguam mengenai situasi kejadian itu, beliau berkata ada beberapa
perkara yang diingat dengan jelas namun selebihnya tidak dapat
diingat kerana kejadian itu berlaku setahun lepas.
Pada 16 Jan tahun
lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu
dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan
berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan
di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Perbicaraan di
hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan