Khamis, 21 April 2016

‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’

Kow Gah Chie    




Penyandang ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee mahu umat Islam di Sarawak mengundi BN pada pilihan raya negeri 7 Mei ini agar pemimpin Islam terus menerajui kerajaan negeri.

"Saya menyeru masyarakat Islam, khususnya di Sibu untuk menyedari (hakikat) ini, bahawa kita diberi peluang untuk menerajui negeri ini walaupun kita bukan kumpulan majoriti (di negeri ini)," katanya.

"Jangan bazirkan peluang ini," katanya di sebuah majlis di Sibu hari ini.

Annuar yang juga adalah pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu, berucap kepada kira-kira 400 hadirin orang yang menghadiri forum, bertajuk 'Keluarga dan Kepimpinan Islam'.

"Kita perlu terus mempertahankan kepimpinan ini," katanya sambil menambah bahawa kepimpinan sekarang mendapat sokongan meluas kerana melayan masyarakat Islam dan penganut agama lain dengan adil.

Ketika diminta mengulas lanjut kemudiannya, Annuar menafikan beliau cuba meniupkan sentimen kaum dan agama dengan gesaan memelihara kepimpinan Islam.

"Tidak, ini bukan perkauman. Saya katakan tadi bahawa kita berlaku adil kepada semua.

"Tidak ada apa yang rasis, sila jangan bermain dengan isu perkauman," katanya.

Ketua menteri pertama Sarawak, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan ketua menteri kedua, Datuk Penghulu Tawi Sli beragama Kristian.

Tan Sri Adenan Satem, ketua menteri kelima dan dua ketua menteri sebelumnya - Tun Abdul Rahman Ya'kub dan Tun Abdul Taib Mahmud - pula beragama Islam.

Menurut Banci Negara 2010, seramai 42.6 peratus rakyat Sarawak beragama Kristian, manakala yang beragama Islam dan Buddha masing-masing terdiri daripada 32.2 peratus dan 13.5 peratus.

Tiada ulasan: