Khamis, 21 April 2016

Umno tak akan masuk Sarawak, yakin dengan komponen BN - Fadilah Yusof

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, Umno tidak akan memasuki Sarawak dan mencampuri urusan pentadbiran yang kini dikendalikan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).
 
Menteri Kerja Raya itu turut yakin bahawa Umno percaya kepada kerajaan negeri yang dipilih rakyat itu mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun tanpa penglibatan Umno.
 
Itu sudah dipersetujui oleh, memang sudah diumumkan. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pun sudah umumkan Umno tidak akan masuk ke Sarawak, sebab mereka berkeyakinan bahawa Sarawak memang telah ditabdir urus dengan baik dibawah komponen Barisan Nasional Negeri Sarawak bersama PBB, SUPP, PRS dan SPDP," katanya kepada Antarapos.
 
Fadilah berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bahawa beliau akan meletakkan jawatan sekiranya Umno dibawa masuk ke negeri berkenaan.
 
Tegas beliau, isu ini sengaja dimainkan oleh pembangkang yang mahu melemahkan BN Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mei depan.
 
"Itu adalah disebabkan mainan politik pihak pembangkang, saya kira dia (Tan Sri Adenan Satem) memang tidak ada perundingan apa sekali pun untuk membawa Umno ke Sarawak sebab ini memang sudah dipersetujui," jelas Fadilah lagi.
 
Baginya, kerjasama antara tiga parti tunjang BN di Sarawak - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sudah menguatkan barisan kepimpinan negeri Sarawak. 
 
"Bila kata tidak masuk (ke Sarawak) tu maknanya tidak akan menubuhkan parti (Umno), tidak akan ada di Sarawak. Sebab parti yang ada di Sarawak ini ialah PBB, SUPP, PRS dam SPDP. Tapi jalinan kerjasama sebagai rakan dalam BN itu memang tetap wujud.
 
Ditanya mengenai Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, beliau tidak menafikan Sarawak sememangnya memerlukan sokongan Umno bagi mempertahankan apa yang dianggap 'simpanan tetap' BN.
 
"Sebagai rakan komponen, sememangnya Umno akan bantu," katanya.
 
Semalam Pengerusi BN Sarawak itu memberitahu media bahawa beliau akan melepaskan jawatan selaku Ketua Menteri negeri berkenaan sekiranya Umno dibawa masuk ke Sarawak.
 
Jelasnya lagi, perkara itu pernah dibangkitkan kepada Perdana Menteri yang bersetuju bahawa parti Melayu itu tidak akan datang ke negeri berkenaan.
 
Adenan turut berkata BN Sarawak sudah cukup kuat di bumi Kenyalang itu dan akan menerima bantuan Umno terutamanya dalam pilihanraya.
 
 

Tiada ulasan: