Ahad, 10 April 2016

Tempoh moratorium bauksit dilanjut ke 16 Julai

BERNAMA


Datuk Seri Dr Wan JunaidiDatuk Seri Dr Wan JunaidiTempoh moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang yang tamat pada 15 April ini disambung tiga bulan lagi, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat kabinet hari ini.

 Pelanjutan tempoh moratorium itu antara lain bagi membolehkan stok simpanan bauksit sedia ada yang berjumlah hampir empat juta tan metrik "dikosongkan" atau dieksport.

 "Kementerian akan membantu pengeluaran bauksit dan memberi AP (permit eksport) mengikut kapasiti bulanan pelabuhan," katanya dalam sidang media di kementerian itu di sini Jumaat

 Wan Junaidi berkata ketika ini terdapat tiga kawasan penyimpanan stok bauksit iaitu di Pelabuhan Kuantan yang berjumlah 28,905 tan metrik, di luar Pelabuhan Kuantan (1,318,463.43 tan metrik) dan di kawasan lombong (2,309,270 tan metrik).

 Beliau berkata semua stok simpanan itu perlu 'dikeluarkan' bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan untuk mengelakkan pencemaran terhadap alam sekitar.

 Beliau menegaskan bahawa pengusaha perlu mematuhi garis panduan iaitu menggunakan lori bertutup sepenuhnya dan mendapatkan lesen khas daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengangkut bauksit dari kawasan simpanan ke pelabuhan sama ada Pelabuhan Kuantan atau Pelabuhan Kemaman, Terengganu.

 "Jadi kalau orang ramai ada lihat lori yang menghantar bauksit ke pelabuhan, ia bukanlah satu kesalahan kerana lori tersebut ada lesen untk mengeluarkan stok bauksit yang sedia ada," jelasnya.

 Menurutnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti pengeluaran bauksit itu tidak menjejaskan alam sekitar seperti pencemaran habuk dan kualiti air.

 "Penting untuk kita (kementerian) jaga alam sekitar. JAS akan memastikan tiada keciciran, tiada habuk berterbangan, tiada pokok jadi merah dan tiada keciciran di laut atau atas jalan raya serta di sungai di mana pelabuhan ini beroperasi," katanya.

 Wan Junaidi berkata kerajaan negeri Pahang juga akan mewujudkan pusat pengumpulan khas bauksit dan membina jalan khas dari kawasan perlombongan ke pelabuhan untuk lori pengangkut.

 "Mungkin kerajaan negeri telah mengenal pasti (kawasan itu), hanya belum dibuat kerana banyak proses yang perlu dilakukan termasuk membuat parit, dinding dan prosedur operasi standard.

 "Jalan dari kawasan perlombongan ke kawasan pelabuhan itu pula mesti di luar daripada kawasan bandar dan kampung," katanya.

 Wan Junaidi berkata jika kesemua syarat yang ditetapkan tidak dapat dipenuhi dalam tempoh lanjutan tiga bulan itu, kementerian akan memohon semula kepada kabinet untuk melanjutkan lagi moratorium berkenaan.-- BERNAMA

Tiada ulasan: