Jumaat, 22 April 2016

Restoran mamak: Pengguna setuju boikot tersusun


Rata-rata yang ditemui FMT bersetuju restoran mamak yang mengingkari pihak berkuasa perlu diajar dengan kuasa pengguna

Restoran-mamak_600


PETALING JAYA: Cekik darah, premis kotor dan pekerja menjijikkan. Rata-rata pengguna yang ditemui FMT mengenakan tiga ciri itu sebagai syarat untuk memboikot restoran-restoran mamak.

Menyedari pentingnya kewujudan restoran mamak dalam rutin rakyat terutamanya golongan keluar lewat malam, mereka yang ditemui bersetuju dengan boikot yang dijalankan secara tersusun dan terarah.

Abdul Hisyam Ahmad, 45, berkata boikot merupakan kuasa yang perlu digunakan secara adil kerana masih ada pengusaha yang menjaga kebersihan premis dan kakitangannya, serta tidak mengenakan harga yang mahal.

“Ada kedai yang murah dan bersih, dan ada kedai yang mahal dan kotor, kenakan GST pulak tu,” ujarnya. “Saya setuju kalau nak boikot, tetapi jangan semua.”

“Kalau boikot semua susah juga nak cari makan jam 2 pagi sebab kedai Melayu tidak ada yang 24 jam,” ujarnya.

Moha Shahrul Abdullah, 52, pula berpandangan sudah sampai masanya pengguna menghukum restoran mamak yang menjual makanan pada harga yang mahal tetapi memberikan perkhidmatan yang mengecewakan.

“Saya menyokong sekiranya kita memboikot restoran mamak ini untuk memberi pengajaran pada mereka; pertama perkhimatan yang diberikan sangat tidak bagus, sebagai contoh apa yang kita minta tidak menepati citarasa.

“Ada satu kes berlaku pada saya dimana saya minta ABC tetapi Tuhan nak tunjuk, saya ternampak pekerja ambil buah laici dengan tangan,” katanya sambil mengeluh.

Pandangan itu disokong Kumar, 43, dan menambah perkhidmatan bersih tidak harus dilihat pada pengendalian makanan dan keadaan premis semata-mata, tetapi juga penampilan kakitangan.

“Kadang-kadang saya tengok mereka pakai baju yang sama, malah kadang-kadang badan mereka berbau hingga membuatkan kita tidak selesa.

“Saya sarankan pekerja perlu sentiasa kemas dan bersih seperti pelayan hotel,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Izuddin, 29, berpandangan boikot tidak perlu sekiranya kakitangan premis diambil dari kalangan rakyat tempatan.

“Saya bukan nak menghina warga asing, tetapi hakikatnya mereka ini kurang menjaga kebersihan berbanding rakyat tempatan,” katanya.

Tiada ulasan: