Ahad, 17 April 2016

Mayat banduan dibedah siasat, dua ditahan

Alyaa Alhadjri

 


Mayat seorang banduan yang terbunuh dalam pergaduhan kumpulan di penjara Sungai Buloh semalam telah diambil untuk bedah siasat, kata polis.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Mohd Rozi Jidin mengesahkan dua banduan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Setakat ini mayat telah dihantar untuk bedah siasat . Terdapat dua suspek utama.

"Mereka disiasat kerana membunuh serta rusuhan (bergaduh)," kata Mohd Rozi.

Akhbar Harian Metro awal hari ini memetik Mohd Rozi sebagai berkata siasatan awal mendapati mangsa, yang dilaporkan berusia 20-an, mati ditikam menggunakan objek tajam.

Beliau juga berkata mangsa telah menjalani hukuman selepas disabitkan dengan kes penculikan.

Insiden itu didakwa berlaku pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam, dilaporkan dicetuskan oleh pergaduhan di antara dua kumpulan yang bersaing dalam penjara.

Ketika ditanya sama ada terdapat tindakan lanjut diambil ke atas mana-mana anggota kumpulan yang tinggal, Mohd Rozi berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara.


Tiada ulasan: