Ahad, 3 April 2016

Malaysia akan hubungi kerajaan Filipina

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Malaysia akan menghubungi kerajaan Filipina berhubung kes penculikan empat rakyat Malaysia semalam, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
 
Beliau berkata ini akan dilakukan setelah pihaknya mendapat maklumat sahih dan terperinci mengenai kejadian itu daripada pihak berkuasa berkenaan.
 
"Kemudian, barulah kita fikir, apakah kerjasama yang perlu dilakukan antara Malaysia dan kerajaan Filipina supaya mangsa diculik dapat dibawa pulang dengan selamat," katanya mengulas kejadian berkenaan.
 
Anifah ditemui pemberita pada majlis keraian 'Post-Sabah Earthquake - 'Thank You' dihos oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di sini, malam tadi.
 
Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar agar digantung serta merta segala bentuk hubungan perniagaan antara Sabah dengan Selatan Filipina.
 
Menurut cadangan itu, langkah itu termasuk menggantung pembekalan barang keperluan ke selatan negara itu.
 
Anifah berkata cadangan itu perlu dilihat jika ia mampu menjadi antara langkah terbaik mengurangkan kes penculikan yang sering berlaku di negeri ini.
 
Ujarnya, perniagaan memang penting namun nyawa melebihi kepentingannya sambil menambah, Malaysia memandang serius kes penculikan termasuk jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di perairan Sabah.
 
"Apabila ia melibatkan nyawa, kita (Malaysia) ambil serius dan saya tahu kerajaan Pusat begitu prihatin tentang (keselamatan) Sabah.
 
"Namun, perairan (Sabah) luas, agak sukar untuk menjaga dan mengawal satu atau dua kapal masuk.
 
"Justeru, kita minta supaya mereka (kerajaan Pusat) lebih melihat keadaan itu termasuk mencari kaedah memberhentikan kegiatan culik ini," katanya.
 
Semalam, empat warga negara Malaysia berumur 21 hingga 34 tahun dari kumpulan sembilan kru kapal tunda, diculik sekumpulan individu ketika sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.
 
Bagaimanapun kumpulan penculik itu melepaskan lima individu lain yang terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia.
 
 

Tiada ulasan: