Jumaat, 8 April 2016

Laporan akhir 1MDB masih OSA - Pandikar

Oleh Azizul Osman
 Post Pic

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara keatas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh dibahaskan kerana masih dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Jelasnya, sekiranya laporan berkenaan dibahaskan di Parlimen ia mungkin melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.
“Tidak ada perkara (untuk berbahas) itu. Debat yang harus diadakan adalah di bawah peraturan mesyuarat 18.
"Perkara ini masih dalam proses, PAC sudah menjalankan tanggungjawab mereka dan bentang kepada majlis apa yang mereka dapat baca.
"Siapa nak buat kenyataan bila sudah diberitahu akan dikenakan tindakan bawah peraturan mesyuarat 85," katanya di lobi Parlimen.
Jelasnya lagi, pembangkang sepatutnya menunggu pada sidang dewan akan datang selepas laporan tersebut tidak lagi menjadi rahsia kerajaan, sekiranya mahu ia dibahaskan. 
"Saya tidak boleh kata ini adalah laporan yang muktamad. Apa yang dilaporkan, itu adalah laporan akhir PAC. Mereka sudah buat laporan berkenaan.
"Apa yang dilaporkan itu akan dibahaskan pada sesi akan datang jika apa ada apa yang hendak dibangkitkan seperti laporan-laporan lain. 
"Kalau ada wakil nak bangkit isu mereka boleh bangkit pada persidangan yang akan datang, tidak seharusnya pada persidangan kali ini," jelasnya lagi.
Jelasnya PAC telah melakukan tanggungjawab untuk menyiasat syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu dan membentangkan laporan akhir itu di Parlimen.
Laporan Akhir PAC mengenai 1MDB itu nyata tidak disenangi oleh pembangkang yang menyifatkan ia tidak lengkap kerana tidak memuatkan laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Pembangkang hari ini masih lagi mempersoal kredibiliti dan hasil laporan yang dikeluarkan PAC, meskipun lima daripada ahli jawatankuasa badan itu terdiri daripada mereka.

Tiada ulasan: