Sabtu, 9 April 2016

Kit Siang gesa sidang tergempar Parlimen bahas laporan PAC

MALAYSIAKINI




Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Dewan Rakyat membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB yang menurutnya merupakan satu skandal yang menjejaskan reputasi Malaysia di luar negara.

Atas sebab ini, beliau menggesa diadakan sidang tergempar empat hari Parlimen membahas laporan PAC tentang 1MDB pada akhir bulan April atau awal Mei,sebelum sidang akan datang yang dijadualkan pada 16 Mei.

Beliau menegaskan demikian dalam satu ceramah di Bagan, Pulau Pinang hari ini.

Ahli politik veteran itu berkata parlimen yang progresif di negara-negara lain, akan mengadakan pembahasan penuh dan panjang lebar mengenai laporan PAC yang ditunggu-tunggu, mengenai skandal 1MDB.

Terutamanya kerana ia telah menjadi satu skandal global yang telah menjadikan negara ini dikenalli sebagai antara 10 negara yang paling banyak berlaku rasuah di dunia ini.

Tetapi Parlimen Malaysia, katanya, baru ditangguhkan pada hari Khamis tanpa sebarang perbahasan laporan PAC sekalipun.

Lim juga mengadu bahawa ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk mengambil laporan PAC mengenai 1MDB, walaupun ia diletakkan di atas meja mereka.

Ini, katanya, adalah kali pertama dalam sejarah Parlimen Malaysia di mana dokumen yang dibentangkan, di atas meja ahli Parlimen secara fizikal dilarang dibawa keluar dari dewan, walaupun tertakluk kepada embargo.

Sebelum ini, ahli Parlimen tidak pernah dilarang mengambil kertas dan laporan kerajaan termasuk kertas bajet dan laporan perbendaharaan yang diletakkan di atas meja mereka tetapi diembargo sehingga tarikh dan masa tertentu.

Lim mendakwa bahawa ini menunjukkan rasa gemuruh mereka yang berkuasa terhadap laporan PAC mengenai 1MDB yang didakwanya sedang diputar oleh penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskannya daripada kebersalahan dalam firma di mana beliau mempengerusikan lembaga penasihat.

Tiada ulasan: