Khamis, 14 April 2016

Kenapa Nabil tolak beberapa tawaran berlakon

Nadia Azam  

 


Berasakan perlu untuk menghasilkan skrip yang mengikut citarasa, pelawak Nabil Ahmad ‘melabur’ RM200 untuk membeli sebuah mesin taip kerana menganggap dirinya ‘buta IT.’

Mulanya hanya cakap-cakap kosong dan dilupakan, tetapi akhirnya cadangan isteri Nazirah Ayub, 28, membuatkan Nabil mengambil pendekatan untuk mengabdikan idea filem yang diperkatakan secara realiti.

Namun, tidak semudah itu bagi Nabil, 33, kerana dia kurang mahir menggunakan komputer.

“Daripada saya terus melupakan idea yang sering diceritakan kepada isteri, ada baiknya mula menulis di atas sesuatu.

“Saya memilih untuk menggunakan mesin taip kerana mahu lebih menjiwai perasaan ketika sedang menulis,” katanya.

Nabil ditemui semasa sidang media pelancaran Lawak Ke Der 2016 yang diadakan di Istana Budaya semalam.

Menurut Nabil, faktor umur membuatkan dia mengambil keputusan untuk membuat pembaharuan dalam hidupnya.

Menceburkan diri di belakang tabir produksi perfileman menjadi satu impian yang mungkin sebelum ini belum dapat dipraktikkan.

Realisasikan impian

Akui Nabil, antara satu sebab dia menolak beberapa tawaran berlakon adalah disebabkan untuk merealisasikan impiannya itu.

“Saya terpaksa menolak tawaran berlakon kerana durasi sesuatu penggambaran mengambil tempoh terlalu lama untuk selesai.

“Disebabkan umur ini juga, saya mula berfikir untuk menghasilkan dan mencipta sesuatu yang berlainan,” katanya.

Satu lagi kekurangan Nabil adalah dia tidak pernah mendapat sebarang pendidikan untuk menulis skrip.
Namun, langkahnya tidak terhenti di situ saja, sebaliknya dia mula mendapatkan tunjuk ajar pihak yang berpengalaman.

“Saya ada bertemu pengarah Ghaz Abu Bakar dan membayangkan babak yang diinginkan.

“Respon Ghaz, dia tergelak dan menyatakan sudah pun boleh visualkan perkara berkenaan.

“Daripada caranya itu, sedikit-sebanyak menunjukkan potensi saya dalam hal ini, maklumlah saya tidak pernah menulis skrip dan sudah tentu berasa teruja.

“Selain itu, saya turut mengkaji beberapa skrip terpilih sebagai rujukan,” katanya.
Nampak mudah tapi berat

Dalam tempoh dua bulan lebih, karya yang dihasilkan Nabil sudah siap sebanyak 20 peratus.

Bagaimanapun, ini semua baru permulaan bagi Nabil dan dia juga belum memutuskan tajuk untuk buah tangannya itu.

“Ini baru permulaan malah saya anggap ia sebagai hobi di masa lapang.

“Mungkin ia akan berkisarkah filem aksi dan seram namun diselitkan komedi,” katanya.

Sementara itu, dalam Lawak Ke Der yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 5 hingga 8 Mei ini akan menyaksikan Nabil bertindak sebagai pengacara.

Biarpun hanya menggalas peranan sebagai pengacara, Nabil akui sedikit-sebanyak turut terbeban dengan tugas yang perlu dibawa.

Kata Nabil, cabarannya adalah untuk memeriahkan suasana acara yang sedang berlangsung.

“Nampak mudah, tetapi ia berat sebenarnya.

“Saya perlu membuat lawak sebelum peserta naik ke pentas dan sesudah mereka turun.

“Jadi saya juga perlu menggarap idea yang menarik dan pastikan ia sesuai dengan isu yang dibawakan peserta.

“Dengan melihat keletah anak-anak di rumah, ia dapat membantu saya mengurangkan tekanan yang ada,” katanya.


Tiada ulasan: