Khamis, 14 April 2016

Jbt Imigresen S'wak enggan dedah senarai larangan

MALAYSIAKINI




Pihak berkuasa imigresen Sarawak tidak akan mendedahkan senarai larangan memasuki Sarawak di kalangan ahli-ahli parlimen pembangkang dan aktivis.

"Kami melaksanakan arahan dari pihak berkuasa negeri," kata pengarahnya, Ken Leben.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat pembangkang telah dihalang memasuki Sarawak di bawah Seksyen 65 (i)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Antara yang terkini ialah exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan pencipta maskot UBAH, Ooi Leng Hang.

Mengulas lanjut, Ken berkata, pihak yang merasakan diri mereka tersenarai dalam larangan tersebut dinasihatkan untuk tidak bercadang untuk memasuki negeri tersebut.

Setakat ini, sejumlah 37 ahli-ahli parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik telah dilarang memasuki Sarawak termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Sarawak menjadi negeri yang berautonomi dan ia merupakan sebahagian daripada 18 perkara dalam perjanjian apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963.

Anggota parlimen pembangkang, walau bagaimanapun, berpendapat dasar itu telah disalahgunakan oleh kerajaan negeri.


Tiada ulasan: