Sabtu, 9 April 2016

Hampir 1,000 orang hadiri perhimpunan bantah DLP

Anne Muhammad  




Hampir 1,000 orang hari ini menyertai himpunan membantah pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) di padang Tasik Titiwangsa.

Himpunan yang bermula pada jam 2 petang itu dianjurkan oleh Kongres Rakyat di bawah PAS dan Gerakan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Himpunan ini sepatutnya diadakan di Dataran Merdeka tetapi diubah dua hari lalu.

Bagaimanapun dimaklumkan terdapat majlis diadakan di Dataran Merdeka pada hari dan masa yang sama.
Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pihaknya bukan menolak bahasa Inggeris sebaliknya menolak DLP kerana Bahasa Melayu dijamin di dalam perlembagaan.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali ketika menyampaikan ucapan menyifatkan Umno gagal dalam semua aspek khususnya memastikan hak orang Melayu terus terjamin.

Justeru beliau melihat PAS mampu untuk menggalas tanggungjawab yang selama ini dijalankan oleh pihak kerajaan, bahkan jalan parti Islam itu akan semakin mudah selepas tidak lagi bekerjasama dengan DAP.

Ibrahim mendakwa bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang gagal, sudah gagal dalam segala-galanya, gagal mementingkan citarasa majoriti penduduk, kaum bumiputera khususnya Melayu Muslim.

"Gagal mendukung negara yang Merdeka. Banyak isu yang kita hadapi, kita berhimpun banyak kali pun tidak akan mengubah sikap mereka di atas

"Bila PAS cerai dengan DAP tidak ada lagi Cina buta, masa depan Melayu bukan hanya boleh digalas Umno tapi boleh juga digalas PAS, ini (DLP) bukan agenda politik," katanya.

Beliau dalam pada itu mengajak NGO Melayu memberi amaran kepada kerajaan BN untuk tidak melaksanakan program DLP termasuk beberapa isu berkaitan dengan mahasiswa Bumiputera.

"Cadangan kita saya ajak NGO-NGO yang ada kita buat pendirian bersama secara terbuka memberi kata dua kepada pihak pemerintah jika mereka menodai bahasa kebangsaan termasuk isu DLP ini juga perkara berkaitan biasiswa," ujar beliau.

Selain Tuan Ibrahim antara pemimpin PAS yang kelihatan hadir adalah Naib Presiden Idris Ahmad, Mahfodz Mohamed dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Turut hadir ialah tokoh sasterawan selaku pejuang bahasa kebangsaan Datuk A Samad Said.

Pada 26 Mac, perhimpunan yang sama juga telah diadakan dihadalan LRT Masjid Jamek, yang dihadiri oleh PKR dan DAP.

DLP bakal diperkenalkan di sekolah yang bersedia melaksanakannya dengan persetujuan pihak tertentu termasuk sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Pada pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan DLP itu bakal ditawarkan kepada 300 sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris.

Di bawah program itu kelak, sekolah akan diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 dan Tahun 4

Tiada ulasan: