Rabu, 6 April 2016

Graduan IKBN raih pengalaman berharga di syarikat automotif

Norsiah Mohd Ramli, Astro Awani 
 
Graduan IKBN raih pengalaman berharga di syarikat automotif
KHAIRY: Graduan juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi.
 
 
KUALA LUMPUR: Seramai 154 graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menjalani latihan di syarikat automotif berjaya memperoleh pekerjaan di beberapa syarikat automotif yang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata graduan bukan sahaja mendapat pengetahuan mengenai sektor automotif, malah mereka juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi.

"Sebagai contoh, mereka yang membuat latihan di Syarikat Mercedes Benz Malaysia bukan sahaja belajar mengenai penyelenggaraan Mercedes Benz, malah tahu bagaimana membuat pembentangan dalam Bahasa Inggeris dan sebagainya," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.

Antara syarikat automotif yang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KBS ialah Tan Chong Group, Tan Chong Motors, Warisan Tan Chong Holdings, Mercedes Benz dan Perodua.

Tambahnya, keberhasilan kerjasama IKBN dgn pemaju industri khususnya dalam sektor automobil dan perkhidmatan bagi meningkatkan potensi peluang pekerjaan graduan IKBN dalam pasaran tempatan serta luar negara meningkat dari 80 peratus hingga 90 perastus dari 2013 hingga hujung tahun 2015.

Selain itu, tenaga pengajar di IKBN turut diberi bantuan dari segi penambahbaikan modul latihan dan pemberian peralatan daripada syarikat.

Dari sektor perkhidmatan pula, Khairy juga mengesyorkan graduan IKBN mengisi kekosongan jawatan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di hotel-hotel.
Katanya, ia sekali gus dapat mengurangkan pengambilan pekerja asing ke dalam negara ini. 
 
 

Tiada ulasan: