Isnin, 25 April 2016

Exco juga tak jelas isu 'Datuk Seri' MB Terengganu

Shakira Buang  




Ramai pihak ternanti-nanti apa sebenarnya berlaku susulan laporan mendakwa istana menarik balik darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ yang diberikan kepada Menteri Besar Ahmad Razif.

Bagaimanapun, seperti ramai orang, exco kerajaan sendiri juga masih tidak jelas apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya tak ambil tahu sangat apa yang berlaku itu sebab saya pun tak hubungi menteri besar bertanyakan perkara itu.

“(Ini) kerana ini melibatkan pihak istana, jadi agak sukar,” kata Exco Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Roslee Daud.

Roslee ketika dihubungi Malaysiakini juga berkata beliau tidak jelas apakah alasan penarikan darjah kebesaran itu.

Malaysia Dateline Sabtu lalu memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat menarik balik gelaran kepada Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.

Berita Harian pula memetik sumber sebagai berkata bahawa gelaran itu dibatalkan melalui perintah lisan.
Sesetengah penganalisis menjangkakan kedudukan BN Terengganu dalam bahaya kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadap sultan Terengganu dalam masa terdekat.

BN mempunyai 17 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang PKR.

Exco-exco lain setakat ini masih belum bersuara kepada media dalam isu itu.


Tiada ulasan: