Sabtu, 9 April 2016

Dituduh berlakon digari, ini respons Rafizi

Dituduh berlakon digari, ini respons Rafizi
Gambar Rafizi yang menjadi kontroversi. -Foto Facebook Rafizi


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kecewa apabila situasi ketika beliau diiringi ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Rabu lalu yang tidak bergari namun hanya meletakkan tangan di belakang sambil dipegang pegawai polis mengiringinya dipolitikkan.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, isu yang lebih besar penyelewengan 1Malaysia Development Berhad, salah guna Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk melindungi penyelewengan dan kelewatan pembayaran caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) cuba ditenggelamkan oleh isu gari itu.

“Malah ada yang memfitnah saya kononnya saya berlakon digari untuk meraih simpati rakyat.

“Saya yakin saya tidak perlu berlakon untuk meraih simpati rakyat kerana sebahagian besar rakyat adalah bersama-sama saya selagi pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) berterusan menekan rakyat,” katanya.

 Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia rasmi tanpa kebenaran, dua minggu lalu.

Rafizi didawa ada dalam milikannya halaman 98 Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kebenaran sah serta tidak berhak menyimpannya dan kemudiannya mendedahkannya pada sidang media di lobi Parlimen.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Rafizi berkata, ketika perbincangan dengan kehadiran peguamnya, pegawai polis bertugas dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mahu beliau meletakkan tangan di belakang dan akan dipegang oleh pegawai-pegawai polis tanpa digari.

“Saya memberi pendapat adalah lebih baik saya digari untuk mengelakkan pegawai-pegawai polis yang mengendalikan saya dikecam oleh pihak Umno dan pegawai tertinggi polis kerana ia pernah berlaku sebelum ini sekiranya dilihat ada kelonggaran diberikan kepada saya.

“Peguam saya pula memaklumkan bahawa oleh kerana keputusan menggari itu adalah budi bicara pegawai polis yang bertugas, beliau mengesyorkan supaya saya tidak digari.

“Akhirnya kami bersetuju bahawa saya meletakkan tangan di belakang tanpa digari mengikut arahan yang diberikan pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan mengendalikan saya,” katanya.

 Beliau turut melahirkan simpati terhadap pegawai-pegawai polis yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes beliau selama ini.

“Kerana mereka menjadi serba salah apabila setiap tindakan mereka akan mengundang kritikan. Jika mereka menggari saya, penyokong pembangkang akan memarahi mereka. Jika mereka tidak menggari saya, besar kemungkinan mereka terpaksa menjawab kepada pimpinan tertinggi polis menjelaskan kenapa mereka tidak menggari.

“Akhirnya mereka cuba mencari jalan terbaik dengan mengarahkan saya meletakkan tangan di belakang sambil dipegang oleh mereka yang pada pandangan mereka merupakan budi bicara mereka yang adil kepada semua,” katanya.

 Rafizi juga mengakui dilayan secara profesional dan berhemah baik dari lokap hingga ke bilik soal siasat dan lokap mahkamah.

Dalam pada itu, Rafizi memberi amaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar agar tidak mengulangi apa-apa kenyataan yang memberi gambaran beliau berbohong atau berlakon mengenai peristiwa gari itu.

“Jika beliau mengulanginya, maka saya akan rujuk perkara itu kepada peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang,” katanya.


Tiada ulasan: