Isnin, 25 April 2016

Bapa, anak ditahan kerana dadah bernilai RM6.3 juta

FREE MALAYSIA TODAY


Kedua-dua lelaki itu yang merupakan anak beranak ditahan di Pulau Pinang tengahari tadi.


Dadah


SEREMBAN: Dua beranak ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah rumah di Nilai, dekat sini yang dijadikan stor menyimpan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.3juta pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, seorang lelaki berusia 52 tahun dan anak lelakinya berumur 33 tahun ditahan di Pulau Penang kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Kedua-duanya dipercayai mempunyai kaitan dengan dadah yang ditemui dan kita kesan suspek berdasarkan maklumat kereta dipandu mereka pernah melalui kawasan terbabit,” katanya.

Jaafar berkata, stor itu ditemui di sebuah flat di Taman Semarak, Nilai dalam serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah Nilai, kira-kira pukul 4.40 petang Khamis lepas.

“Dalam serbuan itu, kita menemui pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 27 gram, 3.85kg syabu; 20kg serbuk ketamin; 5,700 pil eramin, 20,700 pil ecstacy, 3.1kg cecair pekat ecstacy; 446 serbuk ecstacy gram dan 19.1kg serbuk kodain.

“Selain itu, kita turut merampas mesin membuat tablet dan ketuhar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jaafar berkata, ketika serbuan, stor itu dilihat telah lama ditinggalkan dan susulannya, pemantauan selama beberapa hari telah dijalankan sebelum mengesan dua beranak berkenaan.

“Suspek disyaki mempunyai kaitan dengan dadah yang ditemui dan kita kesan suspek berdasarkan maklumat bahawa kereta dipandu suspek pernah melalui kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, stor itu telah digunakan sejak setahun lalu bagi menyimpan dadah yang dipercayai untuk bekalan bukan sahaja di negeri ini, malah, turut untuk edaran di Lembah Klang.

“Berdasarkan rampasan, kita percaya stor ini dijadikan tempat menyimpan sahaja dan kita tidak menemui sebarang alat atau bahan untuk memproses dadah,” katanya sambil menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-BERNAMA

Tiada ulasan: