Sabtu, 9 April 2016

Ambiga: Larangan ahli politik masuk S'wak 'tak sah'

Geraldine Tong

 


Beberapa kejadian ahli politik pembangkang dilarang memasuki Sarawak adalah tidak sah, kata bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga.

"Seingat saya terhadap undang-undang yang berkaitan, seseorang itu tidak boleh dilarang memasuki Sarawak jika dia pergi ke sana untuk tujuan politik.

"Pada pandangan saya, larangan ke atas ahli-ahli politik itu adalah tidak sah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ini, katanya, memandangkan pilihan raya negeri itu akan menjelang.

Ahli politik pembangkang terbaru yang dilarang memasuki Sarawak adalah penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Teo Nie Ching malam tadi, manakala pencipta maskot Ubah DAP dan anggota penting dalam jentera kempen parti itu, Ooi Leng Hang, turut dilarang masuk pagi ini.

Ambiga menggesa kerajaan negeri Sarawak menjelaskan rasionalnya terhadap larangan tersebut, sambil menambah bahawa tindakan itu juga tidak adil kepada rakyat Sarawak.

Rakyat Sarawak, katanya, berhak mendapat pelbagai pandangan sebelum mereka mengundi dalam pilihan raya negeri.

"Apa yang (Ketua Menteri Sarawak Tan Sri) Adenan (Satem) takutkan," katanya.

"Saya dengar dia sangat popular, jadi tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini itu, tidak masuk akal sama sekali," katanya.

Pemimpin PKR lain yang telah dilarang memasuki Sarawak termasuk naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok juga dilarang memasuki Sarawak.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu juga telah dilarang memasuki Sarawak pada akhir Mac lalu.

Sarawak melaksanakan autonomi dalam hal-hal imigresen di bawah perjanjian Malaysia tetapi tidak boleh melarang orang memasuki negeri itu untuk aktiviti politik.

Adenan telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan pada 11 April untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Tiada ulasan: