Harimau Muda  
Pemain Harimau Muda kecewa setelah tewas kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-4 apabila perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan selepas terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir Bolasepak Sukan Sea ke-27, di Stadium Bola Sepak Zayar Thiri, kelmarin.


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pasukan bola sepak negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan Sea edisi Indonesia dua tahun lepas.

Beliau berkata, kegagalan itu mengecewakan kontinjen negara apabila terlepas satu pingat emas menerusi sukan nombor satu rakyat Malaysia.

“Saya memuji kesungguhan yang  ditunjukkan oleh pemain kita yang dilihat bersungguh-sungguh ketika turun menentang Indonesia semalam (kelmarin).

“Namun, nasib tidak menyebelahi kita apabila Indonesia berjaya mengatasi Malaysia menerusi penentuan penalti, “ katanya semalam.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal mara ke final setelah tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan berakhir.

Malaysia akan menentang Singapura hari ini bagi penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Indonesia akan bertemu Thailand bagi merebut pingat emas.

Zolkples berkata, skuad negara berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa kedua apabila dapat menyamakan kedudukan 1-1 walaupun pemain negara berada dalam kepenatan.

“Pasukan Indonesia turun dengan semangat baharu apabila berjaya menyingkirkan Myanmar pada aksi penutup saingan peringkat Kumpulan B sebelum itu,” katanya.

Beliau berharap pemain mampu bangkit semula pada kejohanan berikutnya selepas ini.