Zairil Khir Johari 
 Zairil Khir Johari


ALOR SETAR - “Lantikan saya sah dan tidak boleh dipertikai,” kata Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, pelantikan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berdasarkan saluran yang betul.

Menurutnya, bekas Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik membuat aduan berhubung pelantikan  jawatankuasa interim DAP kepada ROS pada Julai lalu iaitu ketika CEC sedang mengalami konflik bersama ROS.

"Mungkin ROS membuat keputusan mengiktiraf Guan Aik sebagai pengerusi adalah berdasarkan situasi pada bulan Julai.

“Tetapi kita sudah buat pemilihan semua CEC pada 29 September lalu dan tidak ada sebarang masalah berhubung keputusan berkenaan. Malah ROS tidak membantah keputusan lantikan itu," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat pengiktirafan Guan Aik sebagai Pengerusi DAP Kedah oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 4 Disember lalu.

Zairil menambah, jika pemilihan CEC diakui sah, bermakna sebarang keputusan yang dibuat oleh CEC termasuk melantik jawatankuasa interim DAP Kedah juga adalah terpakai.

“Saya percaya, mungkin berlaku salah faham antara ROS dan DAP Kedah. Pada saya, surat jawapan ROS itu perlu dirujuk dan dikaji semula berdasarkan keadaan semasa selepas pemilihan semula CEC diadakan,” katanya.

Menurutnya, jawatan sebagai pengerusi interim DAP Kedah adalah sah manakala jawatan Guan Aik tidak boleh diguna pakai lagi.

“ROS tidak pernah mempertikai pemilihan semua CEC pada September lalu. Maka mereka juga tidak boleh pertikai lantikan jawatan saya yang dibuat oleh CEC pada 10 Mei lalu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai 15 Cawangan DAP Kedah yang tidak mahu menghadiri sesi dialog bersamanya pada hari ini, beliau berkata, ia tidak benar.

“Saya melihat yang menyatakan pendirian itu adalah seorang individu yang kononnya mewakili semua cawangan.

“Saya yakin dan percaya ahli tetap akan datang pada sesi dialog ini kerana seorang sahaja yang bercakap," katanya.

Zairil berkata, dialog tetap diadakan hari ini di Ibu Pejabat DAP  Kedah, di Jalan Putra pada jam 8 malam manakala keesokannya di Sungai Petani.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, ROS mengesahkan Guan Aik masih Pengerusi DAP Kedah yang sah, selain tidak mengiktiraf jawatankuasa interim yang dipengerusikan Zairil.

Menurut laporan itu, Guan Aik mendedahkan surat daripada ROS bertarikh 4 Disember yang mengesahkannya sebagai pengerusi yang diiktiraf apabila dilantik menerusi mesyuarat agung tahunan 2010.

Surat yang ditandatangani Pendaftar, Mohammad Razin Abdullah itu menyatakan Guan Aik dilantik secara sah sebagi pengerusi berdasarkan peruntukan perlembagaan dan peraturan parti, setelah mengambil kira kedudukan CEC DAP yang kini masih belum diiktiraf menyebabkan mereka tidak mempunyai kuasa melantik Zairil sebagai pengerusi baru.