Rabu, 25 Disember 2013

Yang ini berkurap, yang itu pula berpanau

Saya masih berpendirian yang berhimpun untuk menggulingkan kerajaan bukan cara yang boleh diterima ramai. Lebih dari 50 peratus rakyat mahukan perubahan kerajaan tetapi lebih dari 50 peratus dari rakyat juga tidak bersetuju menggulingkan kerajaan dengan cara berhimpun.
Tidak siapa yang tidak bersetuju yang kerajaan hari ini wajar diketepikan tetapi unt

uk mengajak rakyat berhimpun secara besar-besaran bukanlah caranya untuk perubahan itu. Pertamanya tindakan itu merupakan tindakan yang kurang baik kerana cara berhimpun dan memaksa kerajaan itu berubah itu bukanlah satu tindakan demokratik yang baik.

Keduanya kita telah berusaha untuk menggulingkan kerajaan melalui pilihanraya tetapi keputusannya masih berpihak kepada penyandang walaupun begitu hebat gerakan untuk mengenepikan kerajaan hari ini. Kekalahan dan kegagalan pihak yang ingin mengambil alih kerajaan tentunya bersebab.

Saya sendiri telah menjelajah keseluruh negara membantu usaha untuk menggantikan kerajaan ini sebelum pilihanraya yang lepas.. Tetapi dalam proses itu saya seperti orang lain juga dapat mengenal pasti sebab kenapa pihak yang membangkang masih gagal untuk mencapai niat menggantikan kerajaan yang rasuah dan tidak bermoral sekarang ini.

Sebagai rakyat kita harus memahami isu sebenar kenapa pembangkang menghadapi kegagalan dalam usaha mereka.

Kita cuba lakukan analisis yang realistik dalam isu ini. Apabila kita mengatakan pimpinan kerajaan sekarang ini perlu diganti, persoalan yang pertama yang harus dijawab ialah, siapa yang hendak menggantikan pimpinan negara sekarang ini? Benar pimpinan hari ini amat tidak sesuai untuk meneruskan pimpinan mereka, malahan kesemua yang ada dalam barisan kepimpinan UMNO yang tertinggi itu menjadi persoalan besar kepada rakyat.

Tetapi jika hendak menggantikannya siapa yang akan menggantikan mereka yang hendak diganti ini?

Adakah pasti nama-nama yang di sebut untuk menggantikan itu mempunyai moral dan kewibawaan yang secukupnya untuk menunjukkan kelainannya dari kepimpinan yang ada pada hari ini?

Apa kelainan yang perlu ada kepada pihak yang hendak menggantikan mereka yang sekarang ini?

Pertamanya moral pemimpin yang hendak menggantikan pemimpin yang kurang moral itu mestilah tinggi tanpa ada pihak yang mempersoalkan kewibawaannya. Yang hendak dipimpin ini adalah negara bukannya memimpin syarikat kilang padi atau persatuan sepak takraw.

Jika ramai dikalangan rakyat mempersoalkan kewibawaan dan ramai yang mempunyai persepsi buruk terhadap pemimpin itu, maka adalah terlalu tidak sesuai untuk dijadikan calon pengganti kepada seorang Perdana Menteri. Ini isu serius. Isu moral jangan sekali-kali diambil ringan dalam menentukan kepimpinan sesebuah negara.

Perjuangan dan apa yang terjangka jika pembangkang memenangi pilihanraya serta mengambil alih negara ini ialah dari segi asas perjuangan dalam pengisian kemerdekaan itu sendiri mesti berlainan. Jika isu yang dibangkitkan terhadap kerajaan itu isu perkauman yang telah di perbesarkan terhadap UMNO dan BN itu, penggantinya perlu membuktikan ianya benar-benar lain dari apa yang terhasil dari perjuangan UMNO dan BN itu.

Isu perjuangan ‘multiracialism’ merupakan isu besar dan ada komponen di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri tidak lekang mulut pimpinan mereka mengakui partinya sebagai parti berbilang kaum, tetapi apa yang kita nampak jelas ia merupakan pembohongan yang amat besar dan terlalu jelas. Parti itu tetap dengan parti Cinanya dan ada sebuah negeri yang dikuasai oleh parti ini, tidak mempunyai seorang pun wakil Melayu di dalam Dewan Undangan Negeri nya.

Isu ini adalah isu berat kerana ia menjelaskan pada pandangan dan persepsi ramai yang melayu dan bangsa lain dalamnya hanyalah diperguna untuk menampal poster dan banting sahaja semasa pilihanraya sahaja. Melayu dikaburi dengan jumlah peruntukan lebih dari RM60 juta untuk majlis Agamanya. Sebuah negeri yang kaya tidak menjadi isu besar untuk memberikan peruntukan besar untuk agama Islam itu, waimma untuk memperuntukan RM100 juta sekali pun.

Yang mereka kehendaki ialah untuk memegang kuasa politik ditangan kaum nya sahaja. Mereka memahami sikap dan nilai orang melayu yang akan terpengaruh dengan peruntukan kewangan yang banyak itu sudah memadai untuk menyenangkan hati dan jiwa mereka. Pada pendapat parti itu, tidak seorang pun Melayu di negeri itu yang layak untuk duduk di dalam Dewan Undangan Negeri nya. Melayu di negeri itu semuanya dianggap bodoh dan tolol dan layak disuruh arah untuk menjadi penampal poster sahaja.

Maka tuduhan setengah pihak yang mengatakan orang Melayu akan terpinggir itu sudah mula menampakkan kebenarannya jika pembangkang dijadikan alternatif kepada kerajaan yang ada pada hari ini. Oleh itu dengan persepsi ini, mana mungkin pihak ini dengan mudah boleh meminta orang melayu khususnya untuk bertindak dengan risiko yang amat tinggi bagi mereka itu? Melayu akan terus berfikir, ‘dari bangkong biarlah nangka’, maka terus mengambil sikap tidak mahu melakukan perubahan yang mereka anggap amat berisiko itu.

Orang melayu hampir terjerat dengan strategi parti ini. tetapi hikmahnya bukan tidak ada. Hikmahnya, tuduhan setengah pihak yang parti ini hanya bermain dengan retorik murahan itu sudah ternyata benar dan kali ini amat payah bagi mereka melanjutkan janji dan retorik mereka itu dalam pilihanraya yang akan datang.

Orang Melayu yang berduyun-duyun mengekori mereka dalam pilihanraya lalu tidak akan keluar lagi seperti yang mereka lakukan dalam PRU yang lalu, melainkan mereka berjaya mencari isu lain untuk mengelirukan orang melayu dalam pilihanraya yang akan datang.

Parti ini telah menjadikan PAS sebagai mangsanya. Isu nama Tuhan yang dimainkan oleh DAP dalam pilihanraya yang lalu menjadikan PAS terpaksa berkedudukan ‘defensive’ dan sehingga habis pilihanraya, isu ini tidak mampu ditangai oleh PAS kerana isu itu merupakan isu yang sangat sensitif terutama sekali diluar bandar.

Oleh itu PAS terpaksa memilih untuk mempercayai orang lain dari orang Islam untuk berurusan siasahnya atau pihak Islam yang lemah didalam UMNO  dan BN itu jika PAS masih bermimpi untuk meningkat syiar agama Islam itu.

Setengah pihak sudah ada yang berkata, lemah dan busuk mana pun UMNO itu, ia masih ada bau Melayu dan Islamnya. ‘Cincang air tidak akan putus’, atau ‘sebusuk-busuk daging jika di basuh boleh juga dimasak’.

Yang perlu 'daging yang terlalu busuk dalam UMNO itu wajar dibuang' agar ia berhenti dari membawa wabak penyakit rasuah, boros dan salah guna kuasa itu berterusan berlaku.

Kepimpinan kedua-dua pihak tidak meyakinkan. Teruskan berintrospeksi. Buat yang ada sekarang pilihan kita adalah diantara yang pekak dan yang bisu, atau diantara yang berkurap dan yang berpanau.

Tiada ulasan: