Ahad, 8 Disember 2013

Tuduh Syiah Tanpa Bukti, Mat Sabu Patut Saman Zahid Hamidi

Perlu bukti untuk tuduh Syiah, kata Jamil Khir

KELAB GREENBOC

 
Berikutan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merupakan penganut ajaran Syiah, menteri berkaitan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan.

"Kita amat memandang ke hadapan pembuktian Datuk Seri Zahid," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

"Dalam ajaran Syiah dia bukan libatkan parti semata-mata. Syiah tak tertulis di wajah. Ia iktikad dalaman. Nak mendakwa seseorang itu Syiah, perlu ada pembuktian," katanya.

Ahmad Zahid ketika ucapan penggulungan Naib Presiden Umno memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengenal pasti perkara itu dan menyeru PAS untuk mengetepikan perbezaan politik, dan bersatu menentang ancaman Syiah kerana ini merupakan soal akidah dan keselamatan negara.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah mempunyai bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

"Elok tanya Zahid. Elok tanya polis.

"Kita sebenarnya daripada awal kita adakan kerjasama dengan KDN,” katanya. -TMI


Mat Sabu: Saya pengikut Ahli Sunnah Wal Jama'ah


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan tuduhan kononnya beliau merupakan seorang penganut ajaran Syiah sebaliknya menegaskan beliau adalah penganut agama Islam mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Mohamad membuat penafian itu sebagai menjawab pendedahan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan penggulungan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

"Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohamad ketika dihubungi dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke lura negara selepas melawat mangsa banjir di Kuantan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dalam ucapannya itu meminta JAKIM mengambil tindakan ke atas pemimpin nombor dua PAS yang didakwa pengikut ajaran Syiah.

Dakwaan pemimpin PAS terlibat dengan ajaran Syiah sebelum ini pernah mendapat perhatian selepas isu itu ditimbulkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Namun PAS menafikan terdapat pemimpinnya terlibat dengan ajaran Syiah dan mengecam pihak-pihak yang cuba mengaitkan ajaran tersebut dengan parti tersebut.

PAS menegaskan jika terdapat pemimpin PAS mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Iran atau gerakan Islam di Asia Barat seperti Hizbullah bukan bermakna mereka pengikut Syiah.
-astro awani


PKR dakwa Zahid Hamidi cuba gagalkan rekonsiliasi Najib


PKR mendakwa kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuduh Mohamad Sabu (gambar) mengamalkan fahaman Syiah sebagai satu percubaan menggagalkan usaha Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan dialog nasional dan rekonsiliasi dengan Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan Ahmad Zahid itu tidak adil kerana menjatuhkan hukuman walaupun Timbalan Presiden PAS itu tidak pernah menjalani perbicaraan terlebih dahulu.

“Tatkala Perdana Menteri dan Presiden Umno cuba menghulurkan tangan terbuka kepada Pakatan Rakyat untuk mengadakan dialog nasional untuk rekonsiliasi, Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden Umno pula bagai menghulurkan penumbuk kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Kenyataan Ahmad Zahid amat tidak produktif, berbahaya, dan bagai cuba menggagalkan rekonsiliasi yang diusahakan Najib. Ahmad Zahid perlu menarik balik kenyataan beliau ini,” katanya.

Ahmad Zahid hari ini memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan Mohamad kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS.

“Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.

Dalam reaksi awalnya, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya mengenai dakwaan Ahmad Zahid itu.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu,” katanya apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Najib sebelum ini mengulangi komitmennya untuk mencapai rekonsiliasi nasional selepas keputusan Pilihan Raya Umum 2013 lalu.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu memimpin negara bagi semua rakyat Malaysia.

“Pilihan raya umum ke-13 terlalu sengit dan walaupun Barisan Nasional kembali berkuasa dengan mandat, keputusannya menunjukkan polarisasi dalam negara,” katanya.

“Saya akui itu. Tetapi saya mahu ketepikan persengketaan untuk mencapai rekonsiliasi nasional. Saya mahu memimpin kerajaan yang mewakili seluruh rakyat Malaysia,” kata Najib dalam satu forum pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, mereka menyambut baik kenyataan Najib untuk mengadakan dialog.

"Oleh itu, sekali lagi kami mengulangi kesediaan serta mengambil sikap terbuka untuk mengadakan perbincangan ke arah kepentingan bangsa dan politik baharu," katanya.
-TMI

ULASAN GB

Mudah sangat menuduh orang sebagai Syiah tanpa bukti. Mat Sabu sepatutnya ambil tindakan undang-undang ke atas Zahid Hamidi dengan menyamannya sekurang-kurangnya RM200 juta kerana ia bukan saja menjejaskan nama baiknya tetapi juga parti yang beliau menjadi Timbalan presidennya.

Sebenarnya Zahid Hamidi sudah tidak ada modal lain untuk mencari publisiti di depan ahli UMNO.

Tiada ulasan: