Ahad, 15 Disember 2013

Tony Pua dipilih ketuai DAP Selangor

 

 


MP Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini dipilih untuk menggantikan Teresa Kok sebagai pengerusi DAP Selangor.

Pua dalam kenyataannya selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima tanggungjawab berat dan cabaran berkenaan dengan perasaan rendah hati.

“Saya berada di peringkat di mana DAP memenangi kesemua kerusi yang ditandingi di Selangor dan sukar diatasi.

“Cabaran saya selepas ini adalah untuk mengekalkan rekod tersebut, dan untuk tidak menjejaskan rekod pemimpin sebelum saya,” katanya.

Katanya, beliau mensasarkan untuk turut membantu sekutu DAP dan komponen Pakatan Rakyat di negeri lain.

MP Puchong Gobind Singh Deo dipilih sebagai timbalan pengerusi manakala ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim dan ADUN Subang Hannah Yeoh masing-masing dipilih sebagai naib pengerusi.

Seramai 15 anggota jawatankuasa baru DAP Selangor memilih pucuk pimpinan mereka itu secara undi rahsia selepas pertemuan selama 30 minit.

Anggota jawatankuasa itu terdahulu dipilih oleh 687 perwakilan.

Selain itu, bekas anggota exco Selangor Ronnie Liu juga kembali ke jawatankuasa tersebut, dengan menduduki tempat kesembilan dari 15 calon.

Tiada ulasan: