Khamis, 19 Disember 2013

Tiada golongan terpinggir dalam PAS

 
Yang ada hanyalah pemimpin dari pelbagai disiplin ilmu, ada yang belajar ilmu agama, jurutera, doktor mahupun ahli muzik, kata Mahfuz.




PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Pusat baharu Datuk Mahfuz Omar menegaskan hanya ada satu golongan di dalam PAS, iaitu golongan yang menjiwai perjuangan agama Islam.

“Tak timbul isu mana-mana golongan yang terpinggir di dalam pimpunan PAS negeri.

“Yang ada hanyalah pemimpin dari pelbagai disiplin ilmu, ada yang belajar ilmu agama, jurutera, doktor mahupun ahli muzik,” katanya apabila dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua pemimpin dalam PAS bersatu dan perbezaan diantara golongan ulama dan profesional sengaja ditimbulkan pihak luar untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin PAS.

“Kalau tengok dalam pimpinan PAS negeri pun banyak golongan profesional sebenarnya.

“Isu ini saja nak ditimbulkan. Lepas saya cakap macam ni, nanti akan ada pula orang kata pimpinan ulama tak dapat tempat dalam parti,” kata Mahfuz sambil tertawa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad turut menolak dakwaan bahawa golongan profesional dalam parti itu tidak mendapat tempat dalam kepimpinan PAS negeri.

Menurut beliau, ini terbukti melalui lantikan Pesuruhjaya PAS Negeri seperti Iskandar Abdul Samad, Mahfuz dan Mohamad Sabu di Selangor, Kedahdan Pulau Pinang.

“Isu ulama dan professional ini bukan dari dalam PAS. Yang bawa isu ini ialah Hasan Ali dan Umno. Mula-mula Hasan Ali timbulkan isu ini, kemudian Umno manfaatkannya.

“Kemudian isu ini dibawa balik masuk dalam PAS oleh golongan yang tak faham suasana yang sebenar dan terpengaruh dengan cogan kata dan slogan-slogan tertentu,” tambah beliau.

Senada dengan Mahfuz, Khalid turut menegaskan perbezaan antara golongan ulama dan profesional tidak menimbulkan masalah dalam parti tersebut.

“Perbezaan diantara ulama dan profesional tidak menjadi masalah. Kita boleh berbincang dengan baik tanpa adanya satu pemisah diantara profesional dan ulama.

“Kadangkala ulama antara ulama pun tidak bersetuju antara satu sama lain, begitu juga dengan golongan profesional,” jelasnya.

Tiada ulasan: