Isnin, 2 Disember 2013

'Tengku Adnan kelirukan Dewan isu kuil Muneswarar'

 

 

MP Subang R Sivarasa mendakwa Menteri wilayah persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyatakan bahawa perintah mahkamah membenarkan perobohan kuil Sri Muneswarar Kaliyamman Kuala Lumpur.

Sivarasa memberi alasan, mahkamah sendiri menegaskan bahawa tiada perintah dikeluarkan untuk perobohan kuil tersebut.

Dalam penghakimannya pada 30 Mei 2013, Hakim VT Singham berkata penghakiman bertarikh 5 Julai 2012 “tidak termasuk apa-apa arahan perobohan dinding bangunan kuil dan ia jua bukan perintah pengusiran”.

“Tengku Adnan mengelirukan Dewan tetapi persoalannya, adakah dia berbuat demikian dengan sengaja?

“Jika benar, ia adalah penghinaan kepada Dewan dan harus dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.

“Jika beliau berbuat demikian dengan tidak sengaja, beliau perlu menjelaskan pegawai manakah yang mengelirukannya sehingga beliau percaya terdapat perintah mahkamah dan apa tindakan yang akan diambil ke atas pegawai tersebut,” katanya.

Sivarasa yang bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini berkata, masyarakat perlu mengetahui bahawa menteri kabinet bertindak mengikut fakta.

Tambahnya, ia juga akan menghalang Yang Dipertua Dewan dari mengulangi perbuatan yang didakwanya sebagai tidak benar sehingga membawa kepada penggantungan keahlian dua orang MP Pakatan, Sivarasa dan G Sivakumar minggu lalu.

Tiada ulasan: