Sukan SEA 2013  
Sukan SEA 2013

NAYPYITAW - "Saya ambil tanggungjawab ini (atas kegagalan Malaysia). Keputusan kita betul-betul memalukan," kata jurulatih skuad sepak takraw negara Jamaluddin Hassan selepas anak buahnya tewas dalam kesemua tiga perlawanan acara berpasukan pada Sukan SEA ke-27.

Walaupun pasukan negara memenangi pingat gangsa, beliau yang kelihatan sebak berkata, pencapaian skuad negara itu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima kerana memperoleh pingat tanpa sebarang kemenangan.

Pada saingan yang berlangsung mengikut format liga sepusingan melibatkan empat penyertaan, pasukan yang berada pada kedudukan teratas meraih pingat emas diikuti perak di tempat kedua manakala pingat gangsa milik pasukan di tangga ketiga dan keempat.

Dalam perlawanan hari ini, skuad negara tumpas 1-2 kepada Indonesia untuk menduduki tempat tercorot dalam kalangan empat pasukan yang menyertai acara berkenaan.

Semalam, Malaysia kalah 0-3 kepada Thailand dan 1-2 di tangan pasukan tuan rumah, Myanmar.

Jamaluddin berkata, prestasi yang ditunjukkan pemain negara yang majoriti kurang berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa, adalah jauh daripada kemampuan sebenar mereka.

Tanpa mahu menyalahkan mana-mana pihak, beliau berkata banyak perkara yang perlu diperbaiki andai mahu mengembalikan kekuasaan Malaysia dalam sukan berkenaan.

"Semasa ambil semula tugas ini (sebagai jurulatih pada 2011), saya kata kepada semua, kita bukan hendak kejar glamour sebab ia sekejap tetapi kalau kalah, lama kita akan dikritik... dikutuk.

"Saya terima kekalahan ini dan terpulang kepada pengurusan (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) berhubung kedudukan saya," katanya sambil mencabar pihak yang hanya tahu mengkritik supaya tampil untuk bersama-sama memajukan sepak takraw negara.

Sementara itu, Thailand meraih pingat emas acara berpasukan selepas mencatat kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan. Pingat perak pula milik Indonesia manakala Myanmar yang berada di tempat ketiga meraih gangsa.

Acara wanita berpasukan juga menyaksikan pasukan negara menjadi pasukan belasahan apabila tumpas dalam kesemua tiga perlawanan. Namun, seperti skuad lelaki, mereka turut meraih pingat gangsa.

Pingat emas milik Thailand manakala Myanmar meraih perak dan pingat gangsa turut dimenangi Indonesia.

Skuad lelaki akan menyertai dua lagi acara iaitu regu dan double berpasukan manakala skuad wanita akan beraksi dalam acara regu dan double regu. - Bernama