Khamis, 5 Disember 2013

Syabas Ustaz Kazim!!



Oleh Shahbudin Husin


Pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias akhirnya membuat keputusan menolak tawaran yang dibuat oleh Najib untuk menduduki kerusi MT UMNO. Beliau memberi tiga alasan penolakannya iaitu komitmen sebagai pendakwah, mahu menjaga urusan pentadbiran Pusat Pendidikan Al-Barakah miliknya dan mahu menjaga nama baik UMNO daripada terus difitnah.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, beliau dilihat begitu teruja dan bersemangat memperkatakan tentang tawaran menduduki kerusi MT itu sehingga menyebut dengan kedudukannya sebagai ahli MT, beliau bukan saja dapat menasihatkan perkara-perkara berkaitan Islam kepada UMNO tetapi juga kepada Perdana Menteri dan isterinya.

Lantaran itu, beliau agak kecewa dengan pelbagai kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya tanpa memikirkan sumbangan bermakna yang boleh dilakukannya.

Namun dengan penolakan secara rasmi, bermakna terlepaslah peluang Ustaz Kazim untuk memberi nasihat kepada UMNO, Najib dan juga Rosmah Mansor sebagaimana yang dihasratkannya sebelum ini.

Keputusan beliau menolak tawaran menduduki kerusi MT ini bagaimanapun dilihat adalah pilihan terbaik bagi dirinya sebagai seorang pendakwah. Blog ini juga sebelum ini tidak bersetuju jika beliau menerima tawaran menduduki kerusi MT, bukan saja bimbang dirinya hanyut dalam budaya dan kerakusan UMNO sebagaimana beberapa pemimpin agama yang menyertai UMNO sebelum ini tetapi juga dibimbangi jika perananna nanti tidak lebih hanya sebagai pembaca doa saja dalam majlis-majlis rasmi UMNO.

Abang Ustaz Kazim, Najmuddin Elias juga tidak bersetuju adiknya menerima perlantikan menduduki kerusi MT dengan pandangan bahawa jika ingin memberi sumbangan mengenai Islam, tawaran yang sepatutnya diberi ialah menduduki jawatan dalam kerajaan yang berkaitan dengan pengembangan Islam dan bukannya menjadi ahli MT UMNO.

Di dalam UMNO sendiri, ramai ahli dan pemimpinnya turut berpandangan sama. Mereka bimbang jika dengan menyertai UMNO, sisi buruknya lebih menonjol dan menjadi perhatian sepertimana yang berlaku kepada Nakhaie Ahmad, Yusof Noor, Allahyarham Dr Hamid Othman, Dr Mashitah Ibrahim dan Jamil Khir Baharom.

Mereka melihat tawaran itu hanya semata-mata untuk memberi imej baik kepada Najib di mata umum dan seolah-olah beliau seorang pemimpin yang cintakan Islam serta untuk menenggelamkan pelbagai isu berkaitan pembaziran, pemborosan, kemewahan dan kelemahan urus tadbir yang membelenggu Perdana Menteri sejak sekian lama, sedangkan keuntungan di pihak Ustaz Kazim dan juga Islam belum begitu jelas lagi.

Lebih dari itu, kecaman daripada dalam UMNO terhadap perlantikan beliau juga semakin kuat kedengaran berikutan beliau bukanlah ahli UMNO dan ia dilihat bertentangan dengan semangat perlembagaannya yang mensyaratkan kelayakan bertanding sebagai ahli MT ialah sekurang-kurangnya pernah menjadi AJK UMNO Bahagian selama sepenggal.

Tentulah janggal jadinya jika untuk bertanding terdapat beberapa prasyaratnya tetapi tiba-tiba seorang yang bukan ahli UMNO dan baru keluar daripada Pas, terus dilantik menduduki ketusi MT UMNO.

Terbaru, Dr Rais Yatim turut menulis di Twitternya yang berbunyi, " Ustaz Kazim tolak jadi ahli MT UMNO, yang rekomen beliau tu kenalah jawab. Kenapa tak buat kaji selidik dulu. Terus-terus jadi MT salah disisi peraturan."

Kesimpulannya jika beliau menerima tawaran menduduki kerusi MT itu, masalahnya lagi banyak dan mungkin berpanjangan. Bukan saja kebaikan kepada dirinya belum pasti, bahkan UMNO juga belum tentu mendapat manfaatnya. Ini kerana selain terdapat kalangan dalam UMNO yang turut tidak bersetuju, kedudukannya yang belum menjadi ahli UMNO turut menjadi pertikaian.

Begitu juga dengan kebaikan untuk Islam, turut juga tidak pasti. Tetapi dengan menolaknya, semua terpelihara. Beliau boleh terus berdakwah seperti biasa dan menguruskan sekolahnya. Dakwahnya akan terus berjalan tanpa prasangka. UMNO juga tidak terkait lagi, suara bantahan juga tidak akan kedengaran lagi. Pembangkang juga tidak lagi mengheretnya dengan pelbagai tuduhan dan mengaitkannya dengan UMNO.

Yang lebih penting, Ustaz Kazim menolak untuk hanyut sebagaimana contoh nyata yang mendahuluinya.

Oleh itu, syabas diucapkan kepada Ustaz Kazim kerana telah membuat pilihan yang betul dan tepat kali ini

Tiada ulasan: