Jumaat, 6 Disember 2013

Sukarnya hayati amanat Presiden Umno

 
Apa yang berlaku di Bahagian Kepong merupakan contoh di mana nasihat Najib hanya sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan.




PETALING JAYA: Semalam ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu calon yang menang di peringkat bahagian dan cawangan tidak meminggirkan calon yang kalah.

Katanya, yang kalah dalam pertandingan pada 19 Oktober lalu bukannya tewas semuanya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta yang menang mengajak yang kalah terus bekerja dalam satu pasukan.

Tetapi nampaknya amanat Presiden Umno masih tidak dapat dihayati sepenuhnya oleh ahli-ahli Umno. Apa yang berlaku di Bahagian Kepong merupakan contoh di mana nasihat Najib hanya sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Seramai 27 daripada 33 pemimpin Umno Bahagian Kepong mengulangi pendirian untuk meletak jawatan sekiranya pemilihan jawatan timbalan ketua bahagian itu tidak dilakukan semula.

Ketuanya, Datuk Rizuan Abd Hamid berkata, tindakan itu bukan satu ugutan tetapi penetapan pendirian mereka agar pemilihan dilakukan lebih telus.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat mengenainya beserta tandatangan sokongan 27 pimpinan tinggi bahagian itu kepada Presiden Umno, Najib Tun Razak Sabtu lalu dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin.

“Bukti mengenai pengesahan kertas undi rosak juga ada pada kami yang diserahkan sendiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pemantau, Ab Wahab Said.

“Oleh itu, dari mana pula Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dapat pengesahan pengerusi pemantau yang bersetuju undi rosak itu boleh diguna semula,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Umno Bahagian Kepong, Ahmed Zaharani Yusof Omar, calon jawatan itu, Mohd Khilmi Yusop, Naib Ketua Umno bahagian, Azman Taib  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambahnya, dua pertiga majoriti daripada kepimpinan bahagian tidak berpuas hati apabila Mohd Khilmi yang memenangi jawatan itu pada pemilihan parti 19 Oktober lepas, ditarik balik kemenangannya tanpa penjelasan munasabah.

“Lagi meragukan apabila 21 undi rosak yang disahkan wakil-wakil calon dan pengerusi pemantau untuk jawatan berkenaan 19 Oktober lepas disahkan boleh diguna pakai oleh Syed Ali Alhabshee, tapi keputusan undian sepenuhnya bagi kedua-dua calon tetap tidak dimaklumkan kepada mereka,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Syed Ali dalam satu kenyataan akhbar berkata, jawatankuasa khas bantahan Umno telah memutuskan jawatan timbalan ketua Umno bahagian itu dimenangi Datuk Norizan Ali selepas dakwaan sebanyak 21 kertas undi yang didakwa rosak didapati tidak benar dan diterima sebagai kertas undi yang sah.

Sementara itu, Ahmed Zaharani berkata, keputusan berkenaan juga dimaklumkan kepadanya melalui surat yang diberikan badan perhubungan Wilayah Persekutuan Sabtu lepas, namun tidak kepada Mohd Khilmi

Ditanya sama ada pihaknya meletakkan tempoh untuk Umno pusat memberikan jawapan, beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan tempoh, tetapi yakin Umno pusat akan menjawab secepat mungkin. Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan boleh menubuhkan jawatankuasa penaja bagi mengambil alih kepimpinan Umno Bahagian Kepong, jika 27 daripada 33 pemimpin bahagian itu meneruskan ‘ugutan’ untuk meletak jawatan.

Dua hari lepas, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (gambar)  berkata tindakan mereka hendak meletak jawatan yang dimenangi pada pemilihan parti Oktober lepas, adalah satu bentuk ugutan selepas keputusan muktamad diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Umno Pusat.

“Sesiapa sahaja yang mahu letak jawatan, kita tidak boleh halang, terserah.

Kalau tidak boleh terima keputusan muktamad, terserahlah. Badan Perhubungan Umno akan ambil alih bahagian Kepong, buat penaja semula sebab kita serius mahu jalankan parti,” katanya.

Syed Ali juga yakin Lembaga Disiplin Umno tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika kepimpinan bahagian terus memutarbelitkan fakta melalui kenyataan kepada media.

“Tidak ada sebab munasabah untuk diadakan pemilihan semula kerana pertamanya, jika mahu diadakan semula, ia memerlukan sebab yang kukuh dan munasabah.

“Kita juga telah meneliti semula undi rosak dan dapati ia tidak rosak selain kita juga telah memanggil semua pihak, termasuk calon menang dan kalah, wakil calon dan pengerusi pemantau pemilihan untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata kertas undi rosak itu disemak semula oleh Setiausaha Kerja Umno Pusat Datuk Ab Raof Yusoh, wakil ibu pejabat Umno Pusat, Setiausaha Kerja Umno Wilayah Persekutuan dan pengerusi Jawatankuasa Pemantau Pemilihan Umno bahagian Kepong, yang mengesahkan ia tidak rosak.

Syed Ali berkata keputusan muktamad dengan mengisytihar Datuk Norizan Ali menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian dilakukan Jawatankuasa Pengurusan Umno selepas meneliti laporan Badan Perhubungan dan diperakui Jawatankuasa Khas Bantahan Umno, yang diketuai Tan Sri Azmi Khalid.

“Kita telah menulis surat rasmi kepada kepimpinan bahagian dengan mengatakan keputusan kita adalah muktamad. Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan, terimalah keputusan ini kerana kita mahu teruskan kerja ke arah pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Apakah kesudahan drama yang berlaku di Umno Bahagian Kepong ini? Kenapa 27 ahli jawatankuasa Bahagian tidak dapat menerima kemenangan Norizan Ali yang juga bekas Ketua Pemuda Bahagian?

Sejauh mana nasihat Najib akan dilaksanakan di Kepong?. Sepatutnya bila Norizan Ali diisytiharkan menang, maka yang kalah Mohd Khilmi Yusof hendaklah menerima kekalahan itu. Tak perlu libatkan 27 orang ahli jawatankuasa Bahagian untuk meletakkan jawatan beramai-ramai.

Tiada ulasan: