Ahad, 1 Disember 2013

Stadium Shah Alam dinaik taraf demi keselesaan semua

Oleh : Mohd Ezli Mashut,Gambar : Asri Sapfie,


stadium shah alam di naik taraf 1


SHAH ALAM : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menaiktaraf Stadium Shah Alam untuk melaksanakan penambahbaikan dan meningkatkan taraf kemudahan awam untuk keselesaan penonton dan pemain.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata Stadium Shah Alam akan ditutup sementara daripada sebarang aktiviti untuk tujuan berkenaan selama tiga bulan, bermula 1 Disember ini sehingga 1 Mac 2014.

stadium shah alam di naik taraf 2

Katanya, kos untuk kerja pembaikan dan naik taraf stadium itu akan menelan kos RM2.4 juta yang juga fasa kedua selepas kerja fasa pertama siap dengan kos RM3.4 juta sebelum ini.

“Naik taraf stadium ini akan membabitkan kerja pembaikan bumbung, penggantian rumput padang, tandas dan bilik persalinan pemain, baik pulih sistem siar raya serta genset,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas turun padang melihat kemudahan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik bagi mempertingkatkan tahap keselamatan stadium itu untuk fasa ketiga.

stadium shah alam di naik taraf

Stadium Shah Alam mempunyai keluasan 155,000 kaki persegi dengan kapasiti penonton 80,000 dan dirasmikan pada 16 Julai 1994.

“MBSA juga akan mempertingkatkan kemudahan sukan di Stadium Tertutup Melawati, Pusat Akuatik Darul Ehsan dan Taman Sukan Lasak Shah Alam,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: