Selepas identiti Siti Aishah Abdul Wahab (gambar), 69, warga Malaysia yang dikatakan menjadi “hamba psikologi” selama 30 tahun di London didedahkan, namanya tidak henti-henti disebut oleh media dalam dan luar negara.
Kakaknya, Kamar Mahtum Abdul Wahab, 73, ditemani bekas aktivis mahasiswa, Hishamuddin Rais terbang ke kota London untuk bertemu dengan adiknya selepas 46 tahun terpisah.
Ramai pihak memberikan komen mengenai Siti Aishah yang dikatakan mengikut ajaran pemimpin besar China Mao Tse Tung bersama kumpulan dipimpin Aravindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai “Chairman Ara” - berasal dari Singapura dan pasangannya Chanda dari Tanzania.
Daripada hanya ingin mengetahui tentang identiti wanita warga Malaysia yang dilaporkan media Britian “dikurung” selama 30 tahun, perbincangan mengenai Siti Aishah meleret-leret ke zaman persekolahannya.
Lebih teruk lagi apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris menemuramah bekas rakan sekelas Siti Aishah yang menceritakan tentang betapa “mantapnya” Siti Aishah di zaman mudanya.
Siti Aishah yang mendapat anugerah Colombo Plan merupakan wanita Malaysia pertama layak untuk mempelajari bidang Juruukur Bahan di London School of Economics (LSE) 46 tahun lalu.
Perlu diingat, pada zaman Siti Aishah terbang ke London buat kali pertama, masih belum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan wanita itu melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kepintarannya dan bukan kerana beliau seorang Bumiputera. Ini yang pengkritik-pengkritik perlu sedari.
Pada ketika artikel ini sedang ditulis, Kamar Mahtum dan Hishamuddin baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas misi bertemu dengan Siti Aishah di kota London berjaya.
Kamar Mahtum mengharapkan selepas setahun siasatan polis berhubung dakwaan perhambaan selama 30 tahun itu selesai, Siti Aishah akan pulang ke Jelebu, Negeri Sembilan, tempat mereka pernah membesar bersama satu ketika dahulu.
“Saya beritahu kepadanya saya sudah menyediakan rumah untuknya. Saya mempunyai cukup wang. Saya boleh tanggung dia.
“Dia tidak akan berhadapan dengan cabaran seperti yang dilalui sekarang,” kata Kamar Mahtum seperti dilaporkan akhbar Britain The Telegraph.
Begitu hebatnya kasih sayang seorang kakak seperti Kamar Mahtum yang tetap menerima Siti Aishah walaupun adiknya yang dikenali 46 tahun dahulu sudah menjadi manusia lain.
Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan apa yang diperjuangkan oleh Siti Aishah, ada satu perkara yang boleh kita pelajari daripada episod ini iaitu mengenai kesetiaan.
Siti Aishah menunjukkan kepada dunia bagaimana setianya dia terhadap apa yang diperjuangkan.
Dia tidak berganjak semenjak hari pertama mengenali perjuangannya.
Siti Aishah juga tidak menjadi seperti wanita-wanita lain sezaman dengannya iaitu “liberal” di waktu muda akan tetapi “berjubah” di hari tua kerana takut berhadapan dengan kematian.
Terdapat ramai sezaman dengan Siti Aishah yang tidak mahu lagi mengingati zaman “radikal” mereka.
Tidak mahu bercakap lagi tentangnya, walaupun dalam hati mereka meronta-ronta.
(*) Penulis Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan