Jumaat, 13 Disember 2013
Selangor teruskan kenaikan gaji, penyelarasan ‘sederhana’ menyusul, kata MB
Meskipun mendapat bantahan, kerajaan negeri Selangor akan tetap meneruskan pelaksanaan kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pentadbir negeri Selangor kerana ia sudah ditetapkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, kata Menteri Besar Selangor.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun berkata perbincangan penyelarasan kadar gaji akan dilakukan selewat-lewatnya pada Januari depan.
"Kadar penyelarasan tak sesuai dibincangkan kerana yang layak bertanya adalah mereka yang terjejas dengan kenaikan tersebut, namun ia akan dilakukan secara 'moderate'," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, tengah hari ini.
Abdul Khalid menyifatkan kenaikan gaji yang dikatakan terlalu tinggi oleh segelintir pihak masih bukan terbaik berbanding Sarawak.
"Selangor masih bukan the best, masih ada Selangor vs Sarawak, negeri itu paling tertinggi," katanya.
Sebelum ini Abdul Khalid berkata perbincangan dengan Adun berhubung isu kenaikan gaji diadakan susulan saranan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen yang meminta kerajaan negeri menyemak semula peratusan kenaikan gaji berkenaan.
Persidangan DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 Adun berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.
Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,500; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker RM6,327.50 kepada RM15,750; dan Adun RM6,000 kepada RM11,250.
Kenaikan gaji itu bagaimanapun disifatkan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu tinggi dan meminta Menteri Besar itu mengkaji semula kadar tersebut
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan