Ahad, 1 Disember 2013

RM20 juta bangun kampung baru, 414 projek dilulus

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI


SHAH ALAM  – Kerajaan Selangor sudah memperuntukkan lebih daripada RM20 juta bagi pembangunan kampung baru di negeri itu dengan sebanyak 414 projek infrastruktur diluluskan dan dilaksanakan.

DNS

Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata pada 2014 ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta lagi bagi tujuan pembangunan di kawasan kampung baru.

Katanya, ini berbeza dengan pentadbiran Kerajaan Umno-BN sebelum ini yang hanya memperuntukkan RM200,000 sahaja setiap tahun bagi pembangunan kampung baru.

Ean berkata demikian ketika sesi penggulungan usul pembangunan Belanjawan 2014 di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ean berkata Kerajaan Negeri akan mengkaji semula cadangan peningkatan peruntukan bagi tujuan pembangunan kampung baru pada Belanjawan 2015 yang akan datang.

Katanya, cadangan Dr.Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) mengenai cadangan mengadakan rancangan khas bagi pembangunan kampung baru juga akan diteliti dan dibincangkan.

Ean berkata, Kerajaan Negeri tidak membenarkan rumah kediaman di kampung baru ditukar kepada kilang atau stor kerana bercanggah dengan ‘zoning’ yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan boleh memberi pertimbangan membenarkan sebahagian kawasan rumah kediaman di kampung baru ditukar kepada komersial jika ia berada di tempat sesuai dan perlu melalui proses pendengaran awam.

“Kerajaan Negeri juga mengambil berat isu keselamatan di kampung dengan memperuntukkan RM5,000 untuk setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung, termasuk kampung tradisi dan kampung baru untuk menubuhkan pasukan peronda sukarela,” kata beliau.
- EZY

Tiada ulasan: