Rabu, 25 Disember 2013

Rai kepelbagaian, tolak fahaman ekstremis, kata pemimpin PAS sempena Hari Natal

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Penganut Kristian di Malaysia digesa terus kekalkan keharmonian dalam agama dan meraikan kepelbagaian masyarakat. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Disember, 2013.Penganut Kristian di Malaysia digesa terus kekalkan keharmonian dalam agama dan meraikan kepelbagaian masyarakat. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.

























Penganut Kristian di Malaysia digesa meneruskan keharmonian dalam agama serta meraikan kepelbagaian dengan saling menghormati sebagai lambang kebesaran Tuhan, kata seorang pemimpin PAS sempena dengan Hari Natal yang disambut penganut agama berkenaan hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata sebagai umat Islam, beliau dididik dengan teladan para nabi termasuk Nabi Isa Ibnu Maryam bagi meraikan kepelbagaian dan hidup saling menghormati.

“Saya diajar melalui Al-Quran tentang kepentingan berpegang kepada agama tetapi pada masa sama menerima kepelbagaian dan saling menghormati.

“Saya sebagai rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Natal menggesa tentangan terhadap ketidakadilan, rasis, ekstremis agama serta melaungkan kecintaan terhadap negara dengan menolak kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid turut mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian dengan harapan perayaan kali ini membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa melupakan golongan miskin dan memerlukan.

Katanya, kepelbagaian dalam masyarakat hari ini menjadi asas pembentukan rakyat Malaysia selain Islam yang dinobatkan sebagai agama persekutuan menjadi tunjang kepada keharmonian agama dalam negara.

“Generasi terdahulu meraikan kepelbagaian sejak zaman Melaka menjadi pelabuhan antarabangsa terpenting kepada pedagang luar kemudian membangun menjadi masyarakat berkepelbagaian yang akhirnya membentuk negara Malaysia.

“Dalam usaha saya memperbaiki hubungan antara agama, ia tidak dilakukan dengan cara kasar tetapi menyampaikan mesej keamanan, kasih sayang dan bermaruah,” katanya.

Mujahid dikenali sebagai seorang pemimpin PAS yang konsisten menganjurkan dialog antara agama terutama di antara umat Islam dan penganut Kristian.

Beliau baru-baru ini melancarkan sebuah buku yang menceritakan tentang usahanya bertemu dengan pemimpin gereja di seluruh negara.

Mujahid juga merupakan anak kepada bekas pemimpin PAS, Yusof Rawa yang pernah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Arab Saudi.

Tiada ulasan: