Rafizi  
Rafizi


PETALING JAYA - Pakatan pembangkang mendakwa didesak oleh orang ramai untuk turun ke jalanan membantah kenaikan kos hidup yang berpunca daripada pengurangan subsidi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, rakyat yang merasa bebanan itu mendesak pembangkang untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya dapat menimbang semula keputusan mengurangkan subsidi keperluan tertentu seperti minyak petrol.

“Kami akan bincangkan isu ini secara lanjut dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR Jumaat ini. Agenda mesyuarat ini hanya satu iaitu berbincang mengenai kenaikan harga yang diumumkan kerajaan.

“Sama ada kita akan adakan perhimpunan besar-besaran atau tidak, akan diputuskan Jumaat ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, mesej yang diutarakan rakyat itu sangat jelas bahawa mereka sangat marah dengan kenaikan yang bertindan dalam tempoh enam bulan ini.

Ditanya adakah PR akan mengadakan perhimpunan itu bersama NGO lain atau secara berasingan, Rafizi berkata, kemungkinan besar mereka akan bergabung bersama NGO lain seperti Bersih.

Sementara itu, menerusi sidang media sama, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR akan mengadakan kempen anti GST.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low, Anwar berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menurunkan kadar aliran wang ke luar negara seperti didakwa.

"Saya ingin menegaskan bahawa GST tidak mempunyai pengaruh yang besar terhadap masalah aliran wang haram, apatah lagi, yang berhubung dengan jualan eksport ke luar negara.

"GST ke atas eksport adalah pada kadar sifar dan tidak mempunyai kesan pun ke atas harga barangan eksport," katanya.

Menurut Anwar,  alasan digunakan itu hanya untuk mengiakan pelaksanaan GST dengan mengelirukan rakyat yang rata-rata masih kurang memahami isu ini.