Nurul Izzah Anwar 
 Nurul Izzah Anwar

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini menggesa rakyat agar merujuk kembali manifesto dan janji BN berkenaan isu kenaikan harga barang serta penstrukturan semula subsidi bagi menilai sama ada PR mahupun BN yang betul.

Menurut Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengatakan bahawa pembangkang hanya pandai bermain drama mengenai isu kenaikan ini, padahal pembangkanglah yang memulakannya terlebih dahulu hanyalah helah politik BN semata-mata.

“Isu siapa yang naikkan harga barang ini sila rujuk kepada manifesto dan janji BN terdahulu dan realiti sekarang.

“…usah berdolak-dalik, sekian,” katanya melalui kiriman SMS kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, menggesa rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang susulan kenaikan harga barang yang akan dilaksanakan tahun hadapan.

Menurut Najib, kenaikan harga barangan serta penstrukturan semula subsidi adalah langkah terbaik bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang sepatutnya.

"Mereka ini pembangkang akan mula bising bila kita naikkan harga barang tetapi mereka naikkan gaji Speaker mereka dan Adun mereka sampai 200-300 peratus, cuba lihat siapa yang naikkan gaji mereka hingga terlalu tinggi?

"Gaji Speaker lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri, logikkah?," katanya pada Perhimpunan Agung MCA kali ke-60 yang diadakan semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, dalam isu menaikkan kadar tol misalnya, kerajaan belum pun sempat membuat keputusan rasmi untuk menaikkan harga ke atas konsesi tol, namun pembangkang dilihat lebih dulu menaikkan cukai perniagaan sehingga 400 peratus seperti yang berlaku di Selangor.

"Itu pun belum muktamad lagi, belum proses lagi, kita OTKK dulu...kita OTKK dulu (dalam erti kata lain kita tunggu dulu).

"Tapi mereka lebih dulu, Selangor umumkan kenaikan cukai perniagaan sehingga 400 peratus, lagi dahsyat," katanya.