Jumaat, 13 Disember 2013

Persatuan bimbang pengusaha burung walit 'bunuh diri'

 

 

Sekumpulan 200 orang penternak burung walit dan penjual sarang burung tersebut berhimpun bagi membantah langkah baru yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor untuk mengawal industri berkenaan.

Kumpulan dari Selangor, Pahang dan Pulau Pinang itu, yang marah kerana terpaksa mengosongkan premis ternakan sedia ada, berhimpun di hadapan bangunan setiausaha kerajaan negeri di Shah Alam pagi ini.

NONEKumpulan berkenaan yang mempamerkan kain rentang, melaungkan slogan dan turut mengebu Datuk Teng Chang Khim ketika Exco kerajaan negeri itu melalui kawasan tersebut dengan kenderaan rasmi untuk memasuki bangunan pejabatnya.

Perhimpunan tersebut bermula pada jam 7 pagi dan berakhir dua jam kemudian.

Teng, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal kerajaan tempatan, baru-baru ini memperkenalkan Peraturan Kecil Penternakan Burung Walit dan Pengeluaran Sarang Burung Walit 2013.

Peraturan baru itu mengarahkan pengusaha berkenaan untuk berpindah ke kawasan berstatus tanah pertanian dalam tempoh tiga tahun.

Kerajaan negeri dilaporkan akan mengambil tindakan ke atas pengusaha yang gagal memohon lesen dalam tempoh ditetapkan sehingga akhir bulan ini.

Presiden Persatuan Usahawan Burung Selangor Mah Swee Lye ketika ditemui berkata, langkah itu akan menyebabkan industri berkenaan “mati”.

“Pada masa ini terdapat 6,000 lot kedai digunakan sebagai pusat operasi ternahak sarang burung walit. Setiap satu premis memerlukan sekurang-kuranya RM500,000 untuk berpindah ke tanah pertanian,” katanya.

Ia akan memberi kerugian sebanyak RM300 juta kepada industri di Selangor, kata Mah yang berharap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan membuat ketetapan baru ke atas peraturan kecil itu.

Beliau juga mendakwa, seorang pengusaha sebelum ini cuba membunuh diri apabila bahan tersebut disekat daripada dieksport ke China.

Mah berkata, beliau percaya lebih ramai yang terpaksa membunuh diri sekiranya mata pencarian mereka terjejas.

Tiada ulasan: