Anwar Ibrahim  
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan kepada 19 Dis untuk mendengar permohonan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa utama dalam rayuan pihak pembela terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan meliwat.

Hakim Aziah Ali, yang mempengerusikan panel tiga anggota, hari ini menetapkan tarikh itu setelah meluluskan permohonan peguam Tommy Thomas, yang mewakili Anwar, agar pihaknya diberi lebih banyak masa untuk menjawab afidavit Muhammad Shafee yang diterimanya pagi ini.

Sementara itu, pendengaran rayuan pendakwa terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, yang dijadual berlangsung hari ini, juga ditangguhkan apabila peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar dalam kes itu, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Sabtu lepas (7 Dis) kerana jangkitan paru-paru.

Aziah juga menetapkan 19 Dis sebagai tarikh pengurusan kes berhubung rayuan pendakwa.

Mahkamah juga meminta Anwar hadir di mahkamah pada pendengaran akan datang.   

Anwar tidak hadir pada pendengaran hari ini kerana menghadiri seminar di Washington, Amerika.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 6 Dis, Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada pasukan pendakwa. Kali ini, beliau menggunakan maklumat yang terkandung di dalam perisytiharan berkanun bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim sebagai asas untuk memfailkan permohonan baharu bagi mengetepikan Muhammad Shafee.

Permohonan pertama beliau ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun ini dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan juga ditolak.

Permohonan pertama Anwar untuk mengetepikan Muhammed Shafee adalah berdasarkan kesahan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana beliau (Muhammad Shafee) dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pendakwa mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan Anwar itu. - Bernama