Sabtu, 7 Disember 2013

Perlu bukti untuk tuduh Syiah, kata Jamil Khir

OLEH MOHD FARHAN DARWIS



















Berikutan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merupakan penganut ajaran Syiah, menteri berkaitan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan.

"Kita amat memandang ke hadapan pembuktian Datuk Seri Zahid," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

"Dalam ajaran Syiah dia bukan libatkan parti semata-mata. Syiah tak tertulis di wajah. Ia iktikad dalaman. Nak mendakwa seseorang itu Syiah, perlu ada pembuktian," katanya.

Ahmad Zahid ketika ucapan penggulungan Naib Presiden Umno memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengenal pasti perkara itu dan menyeru PAS untuk mengetepikan perbezaan politik, dan bersatu menentang ancaman Syiah kerana ini merupakan soal akidah dan keselamatan negara.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah mempunyai bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.
"Elok tanya Zahid. Elok tanya polis.

"Kita sebenarnya daripada awal kita adakan kerjasama dengan KDN,” katanya.

Tiada ulasan: