Khalid Abu Bakar   
Khalid Abu Bakar

MARANG - Polis percaya dapat mematahkan rancangan pengikut Ajaran Harun untuk membunuh beberapa lagi individu di negara ini berikutan penahanan dua orang dipercayai pengikutnya hasil siasatan kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).
  
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dua daripada 10 individu yang dikehendaki polis itu ditangkap di Kampung Tagasan, Semporna, Sabah 2 Disember lepas.
  
"Siasatan mendapati kumpulan ini selain merancang dan melaksanakan pembunuhan ke atas penguatkuasa Jaip itu mereka juga merancang untuk membunuh beberapa lagi individu.
  
Bagaimanapun, Khalid tidak mendedahkan identiti mereka.
  
"Kumpulan ini juga akan melakukan apa sahaja sehingga membunuh jika mana-mana individu cuba menghalang aktiviti mereka," katanya dalam sidang media sempena majlis pengisytiharan menaik taraf Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) sempena ulang tahun penubuhan PSP ke-58 di sini hari ini.
  
Katanya pihak polis masih memburu lapan lagi individu, tetapi dalam masa yang sama tawaran terhadap beberapa individu lain yang dikehendaki polis dalam kes itu supaya menyerah diri masih lagi terbuka.
  
Ketua Penguatkuasa Jaip, Mohd Raffli Abdul Malik, 49, ditembak mati oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Kuantan, Pahang pada 10 November lepas dan kes pembunuhan itu dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Ajaran Harun. - Bernama