Isnin, 9 Disember 2013

Penganut Syiah ada hak amal kepercayaan mereka, kata bekas mufti

OLEH DIYANA IBRAHIM






Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar), berkata penganut fahaman Syiah seharusnya tidak diganggu untuk mengamalkan kepercayaan mereka walaupun beliau mempunyai pendapat sama dengan kerajaan bahawa ia mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.

Dr Mohd Asri berkata, kerajaan juga gagal menerangkan secara jelas dan terperinci mengenai bagaimana fahaman tersebut boleh memberi kesan kepada rakyat.

"Memang benar kalau kita lihat negara yang mengamalkan fahaman Syiah seperti Pakistan dan Iran biasanya akan menjerumuskan kepada kekecohan, huru-hara dan kita tidak mahu ia terjadi di negara ini.

"Sehingga kini, kerajaan hanya mampu bercakap Syiah membahayakan. Fahaman itu harus dihalang, namun apa yang bahayanya? Daripada segi apa? Apakah kekacauan itu sebenarnya kerana ia kenyataan yang mengelirukan dan tidak jelas,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan terlebih dahulu bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menganut fahaman Syiah sebelum mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Katanya, Ahmad Zahid perlu menjelaskan secara terperinci untuk mengaitkan Mohamad dengan fahaman itu berikutan kenyataannya sangat diragui kerana ia diucapkan secara tidak jelas dan kabur.

"Sebenarnya apa yang didakwa Zahid sangat kabur dan tidak jelas kerana beliau hanya kata Mat Sabu adalah pengikut Syiah, namun tidak pula dijelaskan apakah kesalahannya dan tiada disertakan dengan bukti maka jika begitu ia cuma kata-kata tanpa asas," katanya yang  juga Prof Madya Universiti Sains Malaysia (USM).

Dr Mohd Asri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 pada Sabtu lalu yang memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan pemimpin kedua tertinggi PAS itu kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, dipercayai Ahmad Zahid menamakan Mohamad kerana beliau baru sahaja berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS ke-59 selepas mengalahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah.

Katanya, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah ada bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

"Elok tanya Zahid. Elok tanya polis,” katanya.

Tiada ulasan: