Jumaat, 13 Disember 2013

Naikkan cukai taksiran: politik balas dendam BN pada warga kota

tan kok wai


KUALA LUMPUR,: Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai menyifatkan tindakan kerajaan menaikkan cukai taksiran Kuala Lumpur merupakan balas dendam politik kepada warga kota yang menolak mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau berkata, ia berikutan BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen Kuala Lumpur (KL) dengan undi popular yang merudum berbanding PRU sebelumnya.

“PR memenangi 9 kerusi Parlimen KL dan undi popular meningkat lebih daripada 39 peratus berbanding PRU-12. Manakala DAP memenangi 5 kerusi iaitu bersamaan lebih 51 peratus daripada sebelumnya.

“Sebagai contoh, di Parlimen Seputeh, Cheras dan Kepong, DAP mendapat majoriti begitu besar. 2008, sudah menang besar di KL, kini 2013 kemenangannya lebih besar lagi.

“Sebab itu mereka berdendam dan menaikkan cukai taksiran sebagai hukuman kepada penduduk yang tidak memilih BN,” katanya ketika ditemui di Pejabat DAP Cheras, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan menegaskan, sebab lain yang menyumbangkan kepada kenaikan adalah kewangan negara yang semakin meruncing dan menghampiri bankrap di bawah urus tadbir bermasalah dan lemah BN.

Katanya, masalah kewangan itu merangkumi dua punca utama iaitu hutang negara yang mencapai RM530 bilion dan defisit bajet 16 tahun berturut-turut.

“Untuk menyelamatkan kewangan negara yang teruk dengan pelbagai ketirisan, rasuah dan pembaziran, mereka mengambil jalan menaikkan cukai,” ujarnya.

Tambahnya, alasan kerajaan yang mendakwa ia wajar dilakukan memandangkan tidak ada sebarang kenaikan dikenakan selama 21 tahun juga sama sekali tidak munasabah.

“Walaupun 21 tahun tanpa kenaikan, tetapi kenaikan drastik sebanyak 100 hingga 400 peratus adalah terlalu melampau.

“Di KL, undang-undang jelas menyatakan bahawa taksiran hanya boleh dinaikkan cuma sekali dalam tempoh lima tahun dan tidak melebihi 35 peratus.

“Jadi kalau setiap lima tahun dengan maksimum 35 peratus bermakna dalam tempoh 20 tahun hanya bersamaan 140 peratus. Persoalannya kini mengapa majoritinya melebihi 100 peratus dan boleh mencecah kepada 200 hingga 400 peratus?,” soalnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: