Ahad, 8 Disember 2013

Mustahil “Tsunami Melayu” berlaku, kata Tengku Adnan

OLEH YISWAREE PALANSAMY

Tengku Adnan semasa melancarkan bekalan bantuan kepada mangsa banjir semasa Persidangan Agung Umno baru-baru ini. Gambar The Malaysian Insider. 
 Tengku Adnan semasa melancarkan bekalan bantuan kepada mangsa banjir semasa Persidangan Agung Umno baru-baru ini. Gambar The Malaysian Insider



.Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) hari ini menolak amaran akhbar milik parti itu Utusan Malaysia hari ini berkenaan kemungkinan berlakunya “Tsunami Melayu” dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya kehilangan “Tsunami Cina” dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 tidak akan berlaku kepada kaum Melayu dan Umno akan menambah lebih banyak kerusi dalam PRU14.

“Tsunami Cina berlaku kerana Parti Kelentong Rakyat. Mereka mengelirukan mereka (komuniti Cina) sehingga berfikir (PKR) boleh menjadi kerajaan.

“Lihat apa yang terjadi kepada Umno. Kami menambah kerusi daripada 79 kepada 88 dan saya percaya kita akan menambah kerusi kerana rakyat tahu siapa yang boleh mereka harapkan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur selepas merasmikan pejabat baharu Umno Batu.

“Ia tak akan berlaku,” katanya.

Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat berkata PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih memperjuangkan Melayu selepas ini bagi menyaingi Umno dalam mendapatkan sokongan kaum majoriti itu.

Katanya, selepas kejutan "Tsunami Cina" pada PRU13 sebagaimana disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan “Tsunami Melayu” pada PRU14.

“Awang percaya PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih perjuangkan Melayu bagi menyaingi Umno mendapatkan sokongan majoriti.

“Selepas kejutan 'Tsunami Cina' pada PRU13 gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan 'Tsunami Melayu' pada PRU14,” katanya seperti dilapor akhbar milik Umno itu edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.

Awang turut mengingatkan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno agar jangan lupa diri dan dasar perjuangan parti.

Katanya, ahli MT akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahankan kuasa politiknya semasa PRU14 kelak.

“Barisan MT jangan terlupa diri dan perjuangan. Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahan kuasa politik Melayu selepas ini.

“Waspadalah. Walaupun Umno kuat ia tidaklah kebal. Berjihadlah untuk menjadi parti yang disayangi terutama orang Islam, Melayu dan Bumiputera. Tiada pilihan,” katanya.

Najib sebaik sahaja mendapat majoriti mudah semasa PRU13 lalu tidak menyangka “Tsunami Cina” menyaksikan kehilangan undi komuniti tersebut dengan drastik.

Beliau turut menyalahkan pembangkang di atas tsunami berikut, mengatakan sentimen kaum dimainkan untuk memenangi undi etnik kedua terbesar itu.

Tiada ulasan: