Isnin, 2 Disember 2013

Mustafa Ali kekal Setiausaha Agung PAS, Mahfuz ketua penerangan baharu

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung PAS.Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung PAS. 























 PAS mengekalkan Datuk Mustafa Ali sebagai setiausaha agung manakala Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai ketua penerangan yang baharu dalam mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) parti Islam itu, malam tadi.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai bendahari manakala Dr Mohd Hatta Ramli dikekalkan sebagai ketua pengarah pilihan raya.

Selain itu, empat negeri mendapat pesuruhjaya baru iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Aminulhuda Hassan untuk Johor, Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria (Perak), Adun Sura, Satiful Bahri Mamat (Terengganu) dan Exco Selangor, Iskandar Samad (Selangor).

Semua dilantik dalam mesyuarat pertama selepas muktamar PAS ke-59 berakhir, baru-baru ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut melantik Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang tewas bagi merebut jawatan timbalan presiden sebagai AJK.

Turut dilantik sebagai AJK adalah Datuk Abu Bakar Chik yang tewas bagi jawatan naib presiden.
Sementara itu, Pemuda PAS terpaksa bermesyuarat sekali lagi 5 Disember ini selepas mesyuarat mereka pada 28 November gagal mencapai kata sepakat dalam pelantikan setiausaha.

Suhaizat Kaiat yang menang sebagai ketua dalam muktamar PAS baru-baru ini dikatakan gagal melantik calonnya untuk jawatan itu selepas cadangannya ditolak oleh exco.

Tiada ulasan: