ALOR SETAR – Pas Kedah menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai seorang menteri yang lambat bertindak untuk merancang pembangunan di negeri ini selepas mengambil alih pentadbiran daripada PR pada PRU13 lalu.
Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno dan BN tidak boleh buat perancangan seperti lima tahun kerajaan PR perintah di Kedah.
“Ini sudah nak masuk hujung tahun, tidak ada apa yang dibuat oleh Mukhriz. Dia kata kena ambil masa sikit. Saya ingat bila orang muda jadi menteri besar, cepatlah sikit dia bertindak. Tapi dia kata perlukan masa pula. Ini membuktikan dia lemah.
“Kita kerajaan PR pada sebelum ini baru setahun perintah, kita sudah ada perancangan. Padan la kita baru setahun perintah dan tidak ada pengalaman mentadbir. Berbanding Mukhriz yang pernah jadi menteri dan ahli parlimen, patutnya dia ada idea yang bernas. Tapi tak ada apa yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ceramah sempena Mini Karnival Anak Muda di pekarangan Kompleks Pas Pokok Sena, di sini, kelmarin.
“Dulu BN janji bermacam-macam nak meringankan beban hidup rakyat dan kurangkan kos sara hidup rakyat. Kita boleh buka manifesto BN yang mereka kata tidak akan menaikkan kadar tol dan sebagainya.
"Ini janji mereka. Tapi hari ini, walaupun ia belum dimuktamadkan kenaikan, tapi menteri sudah kata kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan sebab sudah ada dalam perjanjian.
“Inilah dia perjanjian yang dibuat oleh sebuah kerajaan Umno dan BN. Ini bukan salah rakyat yang memilih mereka, tapi salah pemimpin Umno dan BN yang buat perjanjian dengan syarikat konsesi yang mengendalikan lebuh raya,” katanya.
Mahfuz berkata, kerajaan sepatutnya membuat perjanjian itu mestilah berdasarkan pro-rakyat dan bukan kepada pro-syarikat seperti yang berlaku pada hari ini.
“Ini adalah perjanjian yang tidak adil dan berat sebelah. Cukuplah kalau terkena virus kencing tikus, jangan terkena virus kencing BN. Virus kencing tikus itu boleh tahan lagi sebab bukan semua tempat kena, tapi kalau virus kencing BN ini, satu Malaysia akan terkena,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyarankan kepada penyokong PR agar tidak mudah terperangkap dengan isu-isu remeh yang berbangkit.
“Kerajaan BN ini pandai, dia kata Mat Sabu (Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu) pengikut ajaran Syiah dan sebagainya. Sebab apa jadi macam ini? sebab dia nak alih perhatian kita supaya jangan fikir bab kenaikan harga barang, tapi Syiah yang lebih bahaya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan