shahbudindotcom
Berlakunya siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini
diakui oleh semua pihak bakal memberi kesan kepada sokongan rakyat
terhadap kerajaan. Ia bukan saja memperlihatkan kegagalan kerajaan
menggunakan kuasa yang ada padanya dengan sebaik mungkin, malah
sesetengah kenaikan itu juga menunjukkan kegagalan kerajaan menepati
janjinya.
Selain Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat, ahli akademik, NGO dan
sebagainya turut menyedari bahawa kenaikan yang menyebabkan kemarahan
rakyat ini akan terus menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan serta
sedang melihatnya sebagai isu yang serius, beberapa pusat kajian bebas
turut membuat kajian mengenainya.
Merdeka Center melalui kajiannya mendapati, sokongan rakyat terhadap
Najib telah menurun daripada 62 mata kepada 52 mata sejak kenaikan ini
dilakukan manakala Umcedel pula mendapati isu kenaikan harga barang ini
turut menjejaskan sokongan yang diterima kerajaan dan akan menentukan
keupayaan memenangi pilihanraya ke 14 nanti.
Pihak pembangkang pula kini sedang menangguk sokongan yang kian melimpah
berikutan kemarahan rakyat yang sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Sementara kenaikan ini diyakini akan terus menyebabkan pengundi bandar
dan separa bandar terus bersama PR, BN juga dipercayai akan mula
kehilangan sokongan pengundi luar bandar kerana kenaikan harga barang
ini telah mendatangkan kesan yang merata kepada rakyat.
Hakikatnya semua orang bercakap tentang kenaikan harga barang dan
perkhidmatan ini bakal memberi kesan kepada BN dan kerajaan jika tidak
ditangani segera.
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Hassan Malek dengan bangganya menolak bahawa kenaikan
harga barang ini akan menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan.
Perkara ini, katanya, hanyalah masalah kecil saja.
Beliau juga menolak hasil kajian Umcedel yang meramalkan sokongan rakyat
kepada BN merosot berikutan kenaikan kos sara hidup yang ditanggung
oleh rakyat.
Penolakan Hasan Malek ini seolah-olah memperlihatkan beliau tidak pernah
merasai denyut nadi rakyat yang sedang gelisah sekarang ini. Apakah
beliau tidak sedar atau tidak mahu sedar apa yang sedang berlaku di
sekelilingnya sekarang ini?
Sebagai wakil rakyat di Kuala Pilah dan menteri yang terlibat dengan hal
ehwal pengguna, adalah mustahil hanya respon yang baik-baik saja
diterimanya setiap hari. Atau mungkin pegawai dan orang bawahannya
tidak menyampaikan maklumat yang betul kepadanya?
Dengan menolak hasil kajian Umcedel yang tidak memihak kepada kerajaan,
Hasan Malek juga terlihat masih terbelenggu dengan pemikiran bahawa
kerajaan adalah betul segala-galanya atau kerajaan tahu segala-galanya
sedangkan Perdana Menteri sering kali mengingatkan kepada
menteri-menteri kabinetnya supaya membuang pemikiran itu.
Dalam hal ini, Hassan nampaknya masih terbuai dengan khayalannya.
Mungkin sebab itulah agaknya baru-baru ini beliau sanggup hadir sebagai
penonton di program Maharaja Lawak Mega walaupun ada siaran langsung di
televisyen. Tidaklah salah hadir di program itu tetapi dengan
mempamerkan riang gembiranya dan bertepuk sorak di program itu, ia
secara langsung juga menonjolkan mentalitinya sebagai pemimpin.
Biasanya seseorang menteri hadir di program sebegitu hanya untuk
menyampaikan hadiah kepada pemenang atau seumpamanya sahaja. Kalau ingin
bertepuk sorak dan bergembira, menonton di rumah atau bersama
kawan-kawan rapat sudahlah!
Dalam masa yang sama, dengan menolak hasil kajian Umcedel dan seperti
sedikit angkuh menyatakan sokongan rakyat tidak merosot kerana kenaikan
harga barang ini, ramai yang teringat kembali komennya agar jangan
makan ayam apabila harga ayam naik menjelang hari Raya Aidil Fitri yang
lalu.
Ramai yang marah dan mencemuh beliau atas komennya yang tidak sensitif
kepada keperluan rakyat itu. Beliau seolah-olah tidak tahu bahawa ayam
adalah salah satu keperluan setiap kali musim perayaan untuk dibuat
rendang dan sebagainya.
Saranannya supaya beralih kepada ikan dan daging pula lebih jauh
tersasar dalam usaha meringankan beban rakyat memandangkan kedua-duanya
lebih mahal daripada harga ayam. Terlihat bahawa beliau seorang menteri
yang tidak tahu apa-apa dalam tugasnya.
Hasilnya, beliau adalah anggota kabinet pertama yang dianugerahkan
gelaran "menteri cap rakyat" oleh beberapa blog dan laman sosial.
Kemudian, beliau juga gagal menjawab di Parlimen apabila ditanya oleh
Rafizi Ramli mengenai mengapa harga gula negara kita lebih mahal
berbanding beberapa negara lain berikutan harga gula mentah sedang
menurun harganya. Sekali lagi beliau menonjolkan dirinya sebagai menteri
yang tidak tahu apa-apa apabila menjawab, "saya tidak dapat menjawabnya
sekarang kerana ia memerlukan pengiraan terlebih dahulu".
Rafizi kemudian menyindirnya dengan berkata, "lain kali kira dulu sebelum naikkan harga, bukannya naikkan dulu, baru kira".
Sebenarnya banyak lagi komen atau respon daripada Hasan Malek ini yang
didapati tidak menggambarkan dirinya seorang pemimpin yang berbeza
keupayaannya dengan rakyat biasa atau menteri yang mewakili rakyat,
malah kadangkala tesasar jauh daripada hakikat yang sebenarnya berlaku.
Dalam banyak keadaan, Hasan Malek adalah antara pemimpin yang langsung
tidak membantu UMNO, BN dan kerajaan dalam memenangi hati rakyat bagi
menghadapi pilihanraya akan datang.
Beliau lebih banyak menjadi bahan persendaan, cemuhan dan kadang-kadang
lawak jenaka kerana respon atau pandangan yang dikeluarkannya.
Tetapi, mujurlah hanya ada seorang saja pemimpin seperti beliau di negara ini.
1 ulasan:
Adalah benar ada satu Hassan Malek dalam Kabinet Najis,akan tetapi yang lainnya semua (campur Tim.Menteri ada lebih 60) adalah bergelar Malek Hassan.Kan dah ada ungkapan melayu 2X5=5X2 dan pada kiraan Kabinet Najis jawapannya adalah 3/4 atau ikut kata Mamakutty 'half past six'.
Yang melantiknya pula tak sampai 1/4.
Undilah BN!
Catat Ulasan