Ahad, 1 Disember 2013

MIC tuntut peruntukan RM3b untuk masyarakat India

 

 

Kerajaan perlu merangka 'Pelan Pembangunan Semula Masyarakat India' untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel.

Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM3 bilion yang akan disalurkan untuk tujuan latihan, pendidikan dan pinjaman perniagaan bagi kepentingan komuniti itu.

NONEKatanya, apa yang diperuntukkan kerajaan ketika ini masih tidak mencukupi untuk membolehkan masyarakat India keluar daripada belenggu kemiskinan, dengan ekuitinya masih kekal 1.3 peratus berbanding populasinya sebanyak lapan peratus daripada jumlah 28 juta rakyat negara ini.

"Ia tidak memadai dalam menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi masyarakat India. Apa yang lebih diperlukan adalah pelan pembangunan semula untuk masyarakat India, suntikan besar projek-projek infrastruktur, geran dan dana yang akan melonjakkan kaum India dalam pembangunan arus perdana negara," katanya.

Palanivel berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC kali ke-67 yang diadakan di Hotel Equatorial, di Melaka hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Palanivel yakin pelaburan berdimensi baharu itu pasti akan membuahkan kesan berganda sekali gus mampu menyelesaikan masalah pendidikan, agama dan jenayah yang berleluasa di kalangan masyarakat India sejak turun-temurun.

Bagi menjayakan usaha itu, katanya MIC turut menggariskan beberapa projek antaranya pelaburan dalam bidang hartanah yang menjanjikan potensi dan pulangan baik dalam syarikat teknologi dan teknologi termaju dan projek pertanian bijak seperti Steinbeck di California yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan alternatif kepada pekerja ladang bahkan juga memiliki ladang yang diusahakan itu.

Jelasnya MIC kini berada di landasan tepat dalam memastikan segala program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan bijak dan membawa pulangan baik.

"Kita tidak membincangkan mengenai bantuan terhadap usahawan yang mahu membuka kedai gunting atau gerai-gerai. Sebaliknya saya mahu melihat usahawan India menceburi bidang perniagaan berkaitan teknologi termaju seperti nanoteknologi, teknologi hijau atau penyelidikan berkenaan teknologi kumputer kuantum," katanya.

Katanya, walaupun MIC menghargai sumbangan dan peruntukan kerajaan khusus untuk masyarakat India, misalnya sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2014, namun ia hanya 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264 bilion Bajet 2014.

Dalam pada itu, Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menarik perhatian 1,500 perwakilan apabila meminta kerajaan mengembalikan 'sistem kuota' dalam menentukan kemasukan tempat di universiti awam tempatan.

Tegasnya, sistem meritokrasi yang dipraktikan ketika ini menunjukkan kegagalan.

"Sudah tiba masanya kita kembalikan kepada kuota yang mana pelajar diberi tempat di universiti berdasarkan populasi. Sistem meritokrasi yang diguna pakai ketika ini menunjukkan kegagalan.

"Jumlah mahasiswa India ketika ini hanya seramai 1,742 orang daripada keseluruhan 51,673 mahasiswa di universiti awam. Ini merupakan kurang daripada dua peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa tersebut.

"Jumlah ini perlu ditingkatkan sehingga 4,000 mahasiswa tahun depan sebagai menggambarkan realiti populasi masyarakat India. Jika tidak, bagaimana dapat kita menjelaskannya kepada rakyat," katanya dengan disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Palanivel juga mahukan tawaran kemasukan pelajar India ke kursus matrikulasi sebanyak 1,500 tempat diisi sepenuhnya sebagai menepati janji kerajaan terhadap masyarakat India sebelum ini.

"Saya mahu penilaian segera dibuat dalam kaedah penawaran ke kursus matrikulasi ini dan jika perlu, Kementerian Pendidikan boleh bekerjsama dengan MIC untuk mengisi tempat tersebut," katanya.
  
Tambah beliau, masyarakat India terus menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kegagalan MIC dan kerajaan mengisi tawaran matrikulasi yang dijanjikannya.

Bagi meningkatkan mutu dan prasarana sekolah Tamil, Palanivel memohon kerajaan memperuntukkan dana khas tahunan sebanyak RM12 juta bagi membantu kira-kira 8,000 kanak-kanak di bawah program 'Reach dan Teach', dengan mengadakan kelas tambahan pada sebelah petang di sekolah-sekolah Tamil.

Beliau juga mencadangkan supaya latihan vokasional ditawarkan kepada masyarakat India yang menganggur atau mereka yang tidak mempunyai sebarang kemahiran.

Palanivel berkata dalam usaha untuk memenangi kepercayaan dan kehendak masyarakat India, MIC kini menuju dimensi baharu dengan penampilan lebih ramai pemimpin berpendidikan tinggi dan muda.- Bernama

Tiada ulasan: