Khamis, 26 Disember 2013

Membazir masa sahaja!



Oleh SELENA TAY 


KERAJAAN telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah makmal untuk mengkaji bagaimana peningkatan kos sara hidup memberi kesan atas kehidupan harian rakyat.

Semua 20 orang yang diwawancara oleh penulis ini berpendapat bahawa langkah tersebut adalah satu langkah yang membazir masa sahaja dan kebarangkalian membazir wang juga. Ini adalah kerana maklumat yang dikehendaki oleh kerajaan boleh diperolehi dengan mudah melalui tinjauan rakyat.

Lagipun, rakyat tidak boleh membuat apa-apa berkenaan dengan peningkatan tersebut tetapi hanya terpaksa mengikat perut dengan lebih ketat lagi.

Justeru, ini juga menunjukkan bahawa kenaikan harga telah dilakukan dengan tergesa-gesa, contohnya kenaikan harga minyak RON95 daripada RM1.90 seliter menjadi RM2.10.

“Jika hendak naik pun, janganlah naik sebanyak 20 sen tetapi naiklah sebanyak 10 sen pun sudah cukup banyak. Jika harga RON95 ialah RM2.00, sekurang-kurangnya kita akan dapat membeli lima liter minyak dengan wang sebanyak RM10.00 tetapi sekarang dengan RM10.00 kita dapat 4.76 liter sahaja, jauh perbezaannya,” kata seorang kerani kilang yang memandu kereta Kancil.

Selain dari itu, Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST - Goods & Services Tax) tidak harus dilaksanakan dan jika hendak dilaksanakan pun, ia harus bermula pada 4% dahulu dan berada kekal pada paras 4% untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

Cukai pintu diberi penurunan sebanyak 2% sahaja pun masih membebankan rakyat juga kerana penilaian harta sudah naik mendadak.

Oleh itu, kerajaan harus membuat perancangan dengan lebih teliti dahulu sebelum melaksanakan kenaikan tarif, kadar atau harga. Janganlah membebankan rakyat dengan sewenang-wenangnya.

Tiada ulasan: