Sabtu, 14 Disember 2013

MB Selangor arah Puncak Niaga minimum kesan gangguan air

OLEH MD IZWAN

















Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mengarahkan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) mengambil langkah meminimumkan kesan gangguan bekalan air yang akan bermula pada 17 Disember ini.

Penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 yang membekalkan air ke Kolam Imbangan Bukit Mayong dan Matang Pagar dijangka menyebabkan hampir sejuta pengguna terjejas.

Bagaimanapun, Kolam Imbangan Bukit Mayong tidak akan terjejas semasa proses penyelenggaraan berjalan.

Susulan itu, Abdul Khalid telah mengarahkan rangkaian agihan bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3, Loji Rawatan Air Sungai Batu, dan Loji Rawatan Air Bukit Nanas diaktifkan untuk memberi bantuan kepada loji yang terjejas iaitu di Bukit Mayong.

"Justeru, loji-loji rawatan air ini akan membantu meminimumkan kesan gangguan bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas.

"Kita menjangkakan bahawa pengguna-pengguna di beberapa kawasan yang disenaraikan akan menerima bekalan air dengan tekanan yang rendah," kata Menteri Besar dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid juga berkata pihaknya dimaklumkan bahawa PNSB telah diarahkan untuk bersedia dengan segala persiapan supaya kerja-kerja penyelenggaraan ini dapat disiapkan seperti dijadualkan.

Beliau juga mengarahkan PNSB supaya memastikan paras Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekalkan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang berada sekurang-kurangnya pada paras 6 meter sebelum hentitugas pada Selasa, 17 Disember ini.

Ia bertujuan memastikan paras air di kolam berkenaan tidak jatuh di bawah paras 1.5 meter bagi mempercepatkan pemulihan bekalan kepada pengguna yang terjejas ekoran hentitugas loji.

Lebih 1 juta pengguna di ibu negara termasuk Gombak dan Petaling serta Shah Alam dan Klang di Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air bersih bermula 17 hingga 22 Disember ini.

Ia berikutan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2.

PNSB menganggarkan sebanyak sejuta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur termasuk kawasan-kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, INTAN, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Pusat Dagangan Dunia Putra dan Suria KLCC akan mengalami gangguan bekalan air bersih akibat kerja naik taraf tersebut.

PNSB juga akan mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Kuning sepanjang tempoh gangguan bekalan air tersebut memandangkan permintaan bekalan air terus meningkat di Lembah Klang sedangkan kapasiti bekalan air menyusut hingga ke tahap kurang daripada 1% yang menyebabkan tiada bekalan air alternatif pada waktu kecemasan.

Tiada ulasan: