Isnin, 9 Disember 2013

Masa depan Islam lebih utama daripada survival politik



DETIK DAILY 


SELESAI Muktamar, saranan bermuzakarah bermula. Bercampur-baur pandangan tentangnya.Ada yang sinis,kritis dan positif terhadap petikan ucapan pengulungan Presiden PAS berhubung perkara itu.

Bagi mantan Mufti Perlis Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berpendapat umat Islam perlu menyambut baik usaha murni PAS itu yang telah dilontarkan kepada wartawan Harakah AZAMIN AMIN

WARTAWAN: Berhubung saranan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 baru-baru ini yang melahirkan kesediaan PAS bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini, apa pandangan Dr? 

DR ASRI: Semua pihak terutama orang Islam patut mengalu-alukan kenyataan yang baik, yang menggambarkan diri yang berucap itu, hasrat untuk melihat masa depan Islam yang lebih penting daripada kepentingan puak atau survival politik.

Selain itu, apa asas lain keperluan untuk bermuzakarah dengan kerajaan pimpinan BN sedangkan sudah ada medium dan platform lain, untuk berbincang dari masa ke semasa?

Saya lihat bila kita sebut muzakarah atau perundingan PAS dan Umno, sesetengah pihak merasa fobia dengan istilah ini, kerana dibimbangi PAS itu akan lenyap atau berlakunya proses penyerapan PAS dalam Umno seperti yang pernah berlaku dahulu dari sejarah apabila PAS bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

Ini menakutkan sebahagian masyarakat dan sesetengah pihak. Mereka mempunyai kemunasabahan itu untuk bimbang hal itu dan kita terpaksa akur. Kebimbangan politik berlaku disebabkan kewujudan PAS dan kewujudan Umno. Walaupun pada zahirnya kewujudan dua parti ini bertentangan namun hakikatnya persaingan kedua-duanya ini telah memberi sumbangan ke arah negara yang lebih baik.

Kalau itu yang menjadi asas ketakutan mereka, maka PAS mesti ‘elaborate’ maksud sebenar muzakarah itu. Muzakarah itu bukan bertujuan penyerapan PAS dalam Umno sebaliknya PAS menyatakan idea-idea Islam dan idea itu boleh dikongsikan dengan kedua-dua parti itu dengan nada yang lebih harmoni.

Ia tidak diikat dengan kongkongan ‘awak pembangkang, saya kerajaan’ tetapi diikat dengan persaudaraan Islam, yang mana sama-sama mesti memikirkan tentang masa depan Islam dalam negara ini.

Ada platform lain seumpamanya seperti Parlimen namun diikat dengan satu wacana berpolitik dan perbezaan partiparti politik. Ada pembangkang dan ada kerajaan. Tetapi apabila ia satu platform muzakarah PAS dan Umno, ia membabitkan perbincangan dari hati ke hati, walaupun pada namanya PAS dan satu lagi Umno tetapi dalam hati nurani mereka, mereka adalah orang Islam.

Justeru ia mesti memikirkan masa depan Islam dalam negara ini dan bagaimana Islam dapat menyumbang ke arah kebaikan rakyat secara keseluruhannya. Saya rasa tidak ada salahnya.

PAS tidak akan berhenti dalam peranannya sebagai pembangkang di Parlimen dan dalam pilihan raya tetapi dia dalam masa yang sama juga menyumbang ke arah penyuburan elemen-elemen Islam dalam kerajaan.

Dengan adanya rundinganrundingan tertutup ianya akan lebih bersifat saudara berbanding dengan sikap bermusuh dalam politik.

Bagaimana untuk menangkis salah tanggap masyarakat terhadap usaha untuk bermuzakarah dan apa anjuran agama yang sebaiknya dari segi menangani masalah yang melingkari rakyat sekali gus merapatkan jurang pemerintah dengan orang awam?

Kita tahu bahawa perkara ini tidak begitu mudah dengan adanya ‘historical background’ di antara dua parti politik ini. PAS bukan baru, bermula dengan persengketaan politik sehingga ke persengketaan keagamaan manakala Umno bermula dengan perbezaan politik sehingga ke persengketaan urus tadbir yang menjurus ke arah unsur-unsur diskriminasi terhadap PAS. PAS juga ada reaksi bersifat agama yang mencetuskan pelbagai isu dalam sepanjang sejarah yang difahami semua.

Saya rasa ianya dapat ditangani dengan cara, PAS memberi imej yang baik kepada parti itu, apabila dia nak berunding atas persaudaraan Islam dengan dia (PAS) tidak menghapuskan identitinya.

Memang banyak perundinganperundingan yang berlaku antara dua pihak tidak menghapuskan identiti masing-masing sebaliknya membina kebaikan kedua belah pihak.

Saya rasa PAS perlu ke hadapan dalam kes ini, supaya ia boleh keluar daripada kerangka politik kepartian... politik yang lebih matang.

Di Parlimen, PAS membangkang dalam isu-isu yang membabitkan kerajaan tetapi dalam isu-isu Islam yang tidak sesuai diperkatakan di Parlimen, mungkin keduaduanya boleh berbincang terlebih dahulu sesama muslim supaya ianya difahami antara satu sama lain. Ada perkara yang Umno tak boleh luahkan di Parlimen disebabkan persekitaran tertentu dan Umno boleh beritahu kepada PAS perkara yang tidak boleh dibuat secara terbuka begitu juga sebaliknya.

Sebahagian krisis antara PAS dan Umno ini, walaupun disebut sebagai krisis prinsip dan seumpamanya, tetapi ianya mempunyai kaitan ‘personal’ dengan beberapa tokoh dalam Umno dan PAS.

Kalau kita tengok ada tokoh-tokoh tertentu, begitu meruncing tindakan mereka dan menajamkan lagi perbezaan antara dua parti itu, menyebabkan masing-masing masih di posisi parti menjadi agak kecewa seperti di Kelantan umpamanya.

Kelantan lebih 20 tahun, diberi tekanan dan tidak diberi sebahagian hak mereka. Saya rasa itu yang menjadi ‘personal’ perbezaan antara ahli-ahli poltik ini. Kalau dapat dibaiki hubungan itu, adalah lebih baik dan bukannya bermaksud nak melenyapkan PAS atau Umno tetapi dilihat mempunyai ruang kerjasama.

Dalam politik ini ada yang nak ambil ‘political milleage’ seperti siapa yang mula-mula buat, siapa yang cadang dan nak laksanakan. Tidak penting siapa yang buat tetapi apakah manfaat yang rakyat dapat, apabila ianya dilaksanakan.

Berkaitan hudud di Kelantan, Menteri di Jabatan Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom memberitahu pelaksanaan undang -undang Islam di negeri itu, perlu mendapat sokongan ahli parlimen di Dewan Rakyat. Ertinya, perlu ada sokongan kuat daripada kerajaan Pusat, apa respon Dr?

Dari segi realitinya tanpa kelulusan kerajaan pusat, Hudud yang akan dibuat di Kelantan akan menimbulkan banyak masalah kesan negatif daripada positif. Keputusan kerajaan pusat diperlukan kerana ianya membabitkan darah dan undangundang seumpamanya bukan sekadar sebat di mahkamah syariah tetapi hudud merangkumi banyak perkara seperti potong tangan dan lain-lain.

Kalau tidak dapat kebenaran daripada kerajaan pusat, peguam negara, polis dan agensi berkaitan, Kelantan akan menghadapi masalah. Oleh kerana itu, kerjasama kerajaan pusat sangat-sangat diperlukan.

Itu sebab muzakarah perlu dibuat dan dengan cara yang lebih berhemah termasuk kajian yang lebih mendalam dan kemaskini perundangan.

Kerajaan pusat lebih banyak mempunyai kemudahan dan peruntukan ke arah itu malah tokoh-tokoh di peringkat nasional boleh memberi pertolongan, maka perkara itu dapat dibuat dengan lebih baik.

Saya sentiasa mengatakan, tidak menjadi ‘priority’ kepada PAS untuk memperkatakan tentang Hudud kerana banyak lagi perkara lain, yang PAS boleh buat untuk menjunjung Islam ini, tetapi jika itu yang PAS mahu katakan, saya rasa memang kerjasama dengan kerajaan pusat adalah salah satu kunci ke arah melaksanakannya dengan baik.

Selain muzakarah yang dicetuskan di Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam baru-baru ini, apakah harapan dan agenda yang perlu diangkat oleh PAS dalam memimpin persada politik negara?

Saya fikir PAS kena bersifat ‘negara’ dan dia tidak boleh bersifat ‘parti’ seperti era 80-an’.

PAS kena pergi lebih jauh dengan mewujudkan ruang kepada ‘non muslim’ dan seumpamanya. Parti yang ingin memerintah sebuah negara, mestilah bebas daripada unsur remeh-temeh. Mesti bebas daripada unsur Erdogan atau tidak, unsur liberal atau sebaliknya...patut tidak timbul dalam PAS.

Yang patut ada ialah idea tentang politik bukannya prasangka tentang politik. Ini mainan orang-orang bawahan dan tak patut diperkatakan.

Saya rasa ucapan Presiden PAS dalam isu itu bagus.PAS mesti memperkatakan isu negara, tentang ‘good governance’ dan pentadbiran yang dianjurkan Islam itulah yang patut PAS perjuangkan. Itulah intipati kepada pentadbiran Islam iaitu ‘good governance’ di samping menegakkan ‘social justice’.

PAS mesti yakin, apa sahaja yang menyumbang ke arah negara yang baik iaitu ‘Baidatultoiybatul’ negara yang amanah, bermakna PAS seiring dengan apa yang dianjurkan agama.

Bila PAS berjuang soal akauntabiliti dan ‘efficiency’ kerajaan atau pentadbiran lebih telus serta cekap beerti PAS sedang berada di landasan Islam.

Itu mesti menjadi fokus kepada semua khususnya ahli-ahli PAS. PAS itu sendiri hendaklah mencerminkan organisasinya, pengurusannya dan cara dia berbicara isu-isu semasa adalah bersifat negara dan bukannya bersifat puak atau kelompok seperti Umno.

Apa yang berlaku kepada Umno sekarang ialah ianya parti caca-marba. Tidak ada hala tuju. Sekejap orang ni bercakap isu puak-puak dalam agama, ada bercakap puak-puak dalam politik, sekejap cakap soal perkauman.

Semua yang dicetuskan oleh media-media Umno yang ada ini, menjadikan negara kita sebuah negara yang tidak bertolak-ansur, negara yang sentiasa dalam keadaan kucar-kacir dan sentiasa nak berbalah antara rakyat. Itu kecenderungan Umno, pendekatan yang dibuat mutakhir ini dan ini tidak bagus kepada negara.

Kalau PAS nak mentadbir sebuah negara, ia mesti hindarkan isu remeh-temeh tetapi tumpukan isu-isu kebajikan rakyat dan juga mendidik rakyat. PAS mempunyai tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Dato’ Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Mereka suatu ketika telah berperanan mendidik rakyat terhadap perkara-perkara yang baik. Rakyat tidak perlu berbalah kerana pemimpin tetapi bersatu di bawah pemimpin.

Maka PAS kena berfikir dengan kerangka yang lebih luas, seperti yang telah dibuat oleh Turki.
Bagaimana bekerja untuk sebuah negara yang diredai oleh tuhan, tetapi dalam sebuah kerangka atau ‘framework’ negara sekular atau tidak seratus peratus Islam. Malaysia tidak sekular seperti Turki. Malaysia sebuah negara yang acuan Islamnya ada.

Akhir sekali pandangan Dr. terhadap Muktamar PAS dari segi saf kepimpinan dan beberapa perbahasan serta usul yang dibawa oleh Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS dari segi kematangan, hala tuju dan gerak kerja yang bakal dibawa menjelang pilihan raya umum akan datang?

PAS kena raikan kepelbagaian yang ada, kena raikan ‘nonmuslim, raikan pelbagai kumpulan melayu yang liberal atau tidak liberal, kumpulan artis, penyanyi atau ahli seni...semua mereka ini pengundi.

Kesemua mereka ini mesti tahu bahawa apabila PAS memerintah nanti, maka mereka masih ada tempat dan PAS menjadi pendidik kepada mereka dan mendidik ke arah yang lebih baik bukan menghapuskan mereka. Kalau keyakinan ini dapat dibangkitkan kepada orang ramai, maka PAS akan dapat undi.

Kenapa golongan bandar tidak mengundi BN, kerana mereka rasa tidak selamat. Sebuah kerajaan yang boleh mengancam mereka dengan pelbagai perkara, isu puak, isu perkauman dan isu berkeras dengan sesetengah agama. Perkara-perkara ini, tidak boleh ada dalam PAS yang memperjuangkan Islam.

Islam itu adalah rahmat mesti diluaskan dan bagaimana nak mengimplimentasi makna ‘rahmat’ di dalam kepelbagaian di negara ini, Makna rahmat Islam bagi Malaysia tidak sama dengan rahmat di Arab Saudi kerana negara kita mempunyai latar yang tersendiri.

Kekuatan PAS ialah apabila mampu untuk menterjemahkan makna ‘rahmat’ dalam dalam konteks negara seperti Malaysia.PAS mesti matang.

Mesti jadi muslim yang praktis agamanya tetapi sangat matang membicarakan kerangka politik dalam negara.

Tiada ulasan: