Ahad, 1 Disember 2013

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Dibentang Isnin

 MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 3 akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada Ahad, laporan tersebut adalah mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 serta aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan itu, pada hari yang sama, Jabatan Audit Negara akan memberi taklimat berhubung dengan isu-isu utama yang dibangkitkan dalam laporan tersebut kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen.

Laporan itu antara lain mengandungi perkara Mengesahkan Penyata Kewangan pihak yang diaudit seperti 419 dari 458 penyata kewangan kerajaan dan agensinya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

"Sebanyak 23 penyata kewangan telah diberi Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya.

"Baki 16 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," menurut kenyataan itu.

Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh perkara Prestasi Kutipan Hasil Persekutuan, antara lain Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.913 billion pada 2012, meningkat RM22.494 bilion berbanding RM185.419 bilion pada tahun 2011.

Laporan itu turut menyentuh perkara Pengauditan Prestasi Terhadap Program/Aktiviti/Projek Kerajaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri.

Ia memberitahu sebanyak 47 pengauditan prestasi dan 17 pengauditan pengurusan Syarikat Kerajaan lagi telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 3 yang memberikan ulasan/tindakan terkini daripada ketua perkhidmatan terhadap isu-isu yangdilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam Laman Web Jabatan Audit Negara di alamat http://www.audit.gov.my mulai Isnin.
Sebarang pertanyaan lanjut/pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.
Cakera padat (CD) yang mengandungi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 serta Laporan Maklum Balas oleh Perbendaharaan Malaysia akan turut diedarkan kepada pihak media di Parlimen.
Dilaporkan sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, dibentangkan dalam tiga siri.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 1 dan 2 telah dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA

Tiada ulasan: